SAHABAT

Jumaat, 27 Julai 2012

MAYAT BANGUN MINTA AIR


KETIKA saya mahu masuk tidur, Munir datang bersama isterinya memberitahu bapa mertuanya kemalangan di Tanjung Malim. Emak mertuanya juga ada bersama semasa kemalangan tersebut. Adik iparnya yang berumur 12 tahun juga ada. Kejadian ini berlaku dalam tahun 1979.

Sebenarnya tidak ada apa-apa cerita pelik mengenai Ustaz Badur bapa mertua Munir ini dalam kemalangan  jalanraya tersebut. Disebabkan saya kawan baik dengan Ustaz Badur, maka kemalangan yang menimpanya itu diberitahulah oleh Munir kepada saya. Ustaz Badur terlibat dalam kemalangan itu kira-kira jam 11.00 malam semasa balik dari Taiping ke Kuala Lumpur. Kemalangan itu tidaklah pula teruk sangat. Dia tiga beranak dimasukkan juga ke hospital Tanjung Malim. Ustaz Badur yang teruk sedikit.

Malam itu saya minta maaf kepada Munir kerana tidak dapat pergi ke hospital Tanjung Malim melawat Ustaz Badur. Sebenarnya dia pun bukanlah hendak mengajak saya ke hospital di Tanjung Malim, cuma untuk memberitahu saja mengenai kemalangan yang menimpa Ustaz Badur. Dia tahu benar hubungan baik saya dengan Ustaz Badur hingga kalau saya datang ke rumahnya, saya tidak akan silu-silu terus masuk sampai ke dapur.

Seminggu kemudian baru saya melawat Ustaz Badur di rumahnya di Segambut. Ketika saya sampai dahi Ustaz Badur masih melecet dan bawah matanya kelihatan lebam biru. Manakala Mak Seha isteri Ustaz Badur terbaring tidak boleh bangun kerana sesak nafas sejak kemalangan. Dia tidak boleh duduk lama-lama kerana badannya pun gemuk sedikit. Anaknya yang berumur 12 tahun bernama Zaqlul bersimen tangan, tetapi dia tersengih-sengih bila ditanya mengenai kemalangan tersebut.

"Ho, seronoknya Ustaz, macam hero jatuh tunggang balik" dia memberitahu dengan ketawa.

"Dekat selekoh belum sampai Tanjung Malim kalau dari sini, di situlah" Ustaz Badur memberitahu. "Kalau nak cerita, nanti orang tak percaya. Ustaz pun tahulah, orang sekarang ni mana nak percaya cerita-cerita lembaga halus ni. Mereka kata tahyol" ujarnya mencebikkan bibir.

"Mak Seha tak boleh bangun, baring aje laa" saya menegur Mak Seha kerana dia terkial-kial bangun hendak sama bercerita.

"Sikit-sikit boleh juga bangun Ustaz" kata Mak Seha gagahi juga untuk duduk. Dia memang tidak senang diam kalau saya berkunjung ke rumahnya. Ada saja yang dihidangkannya, terutama kalau waktu makan nasi. Sekiranya saya bergurau bertanyakan mana ulam, dia akan cepat-cepat pergi ke belakang rumah mengambil pucuk gajus. Cepat-cepat pula menumbuk sambal belacan perah asam limau. Ustaz Badur pula membakar petai, kerana petai bakar lebih sedap dibuat ulam katanya.

Hubungan mesra antara saya dengan Ustaz Badur dan keluarganya ini sudah terlalu rapat betul. Kadangkala kalau saya lama tidak datang ke rumahnya baik Ustaz Badur mahupun Mak Seha mula menyuruh menantunya Munir menelefon saya. Munir pula memang berkawan rapat dengan saya sebelum itu lagi, dan dia akan memberitahu saya bapa mertuanya berpesan suruh datang ke rumah.

"Lari tak laju Ustaz" beritahu Mak Seha termengah-mengah juga menahan sakit di dada. "Entah macam mana boleh terbabas, tapi memang makcik nampak macam ada perempuan melintas masa tu. Jadi, fasal itulah agaknya orang tua ni tak dapat kawal kereta" jelasnya mengingat-ngingatkan peristiwa tersebut.

"Hah, itulah puncanya. Bukan saya aje yang nampak, makcik ni pun nampak" ujar Ustaz Badur meramas-ramas lengannya yang masih sengal-sengal. "Saya nampak perempuan pakai baju serba putih melintas jalan, jadi fasal saya nak elakkan dia kereta saya terbabas" kata Ustaz Badur menunjukkan sikunya, lengannya, dan dadanya yang luka dan melecet.

"Saya pun nampak, Ustaz" Zaqlul pula menyampuk. "Saya yang pekik kat ayah, tanya siapa yang melintas" dia tersengih-sengih juga.

Itulah pengalaman Ustaz Badur. Kalau mahu dikatakan mengantuk hingga keliru terpandangkan di tengah jalan ada perempuan memakai serba putih melintas, masakan isterinya Mak Seha dan anaknya Zaqlul juga ternampak lembaga yang sama. Ustaz Badur tidak mengantuk, apa yang dilihatnya itu memang pernah dilihat oleh pemandu-pemandu lain ketika melalui jalan tersebut.

Walaupun di situ memang banyak selekoh tetapi keadaannya tidaklah merbahaya sangat kalau dalam suasana biasa. Tetapi apabila ada gangguan pemandu-pemandu tidak akan dapat mengawal kereta. Perkara yang sama berlaku juga pada seorang kawan saya dalam perjalanannya mahu balik ke Johor, melalui jalan Mantin di Seremban. Tiba-tiba saja kereta yang dipandunya stereng keras tidak dapat dipulas lagi. Akhirnya keretanya terus menjunam ke dalam gaung iaitu selekoh sebelum sampai ke Beranang.

Pada malam itu Ustaz Badur balik dari Taiping setelah menghadiri majlis perkahwinan saudaranya. Disebabkan dia orang berniaga, terpaksalah dia balik juga ke Kuala Lumpur kira-kira jam 6.00 petang. Dia berhenti juga di pertengahan jalan untuk sembahyang Maghrib dan Isyak. Di Ipoh dia berhenti juga untuk makan. Hanya apabila sampai berhampiran Tanjung Malim, dia merasa angin bertiup sejuk. Hujan turun renyai-renyai. Mak Seha mengingatkan Ustaz Badur supaya tidak membawa kereta laju, kerana dia sudah mendengar mengenai jalan selepas Tanjung malim itu sering orang bertemu lembaga memakai serba putih berdiri di tengah jalan.

Kadangkala lembaga itu duduk pada cermin kereta menyebabkan pandangan tertutup. Ustaz Badur pula tidaklah berdiam diri saja, dia membacakan juga ayat-ayat suci Al-Quran yang terlintas di kepalanya semasa memandu itu. Sementara Zaqlul duduk di belakang tidaklah tidur, walaupun usianya masih anak-anak. Memang dia sukar tidur kalau di dalam kereta.

Hujan renyai-renyai turun tidak berhenti sehingga sampai ke tol. Selepas tol, Ustaz Badur bercadang mahu singgah dulu di pekan Tanjung Malim untuk berhenti minum kopi, tetapi Mak Seha tidak mahu.

"Dah dekat nak sampai, buat apa berhenti lagi" ujarnya membantah, kerana dia mahu segera sampai ke rumah. Zaqlul juga bersetuju dengan emaknya. Dia tidak mahu berhenti minum terlebih dulu. "Banyak minum nanti banyak kencing" katanya nakal.

Disebabkan anak dan isterinya tidak mahu berhenti, Ustaz Badur pun tidak merasa seronok untuk singgah di Tanjung Malim.

"Kalau awak nak berhenti minum, berhentilah dulu. Nanti kempunan pulak" Mak Seha mengingatkan dia.

"Ah, aku seorang minum buat apa" rungut Ustaz Badur. Setakat dia seorang mahu minum kopi buat apa singgah di pekan Tanjung Malim yang terpaksa menyimpang jauh ke dalam sedikit. Lebih baik berhenti di gerai-gerai yang ada di tepi jalan. Dia mahu singgah di pekan Tanjung Malim kerana mahu mencari kuih pau yang terkenal di Tanjung Malim itu. Melepasi kawasan perkampungan, tibalah di selekoh yang gelap. Kiri kanannya pokok-pokok getah yang rimbun menjadikan kawasan di situ bagaikan diserkup. Hujan renyai-renyai masih turun, tetapi jalan tidaklah begitu licin. Sampai di kawasan selekoh itu Ustaz Badur tidaklah memecut sangat. Lagipun orang tua sepertinya memang tidak suka membawa kereta laju.

"Eh, apa yang putih tengah jalan tu ayah" Zaqlul menudingkan jari telunjuk ke hadapan.

"Orang nampaknya tu..." Mak Seha tergamam sedikit. "Orang gila ke agaknya, merayau tengah malam macam ni" rungutnya apabila nampak lembaga berpakaian serba putih mara menuju ke kereta.

Ustaz Badur cuba menekan brek, tetapi terasa breknya tidak mencengkam. Dia menjadi kelam kabut kerana brek sudah ditekan kuat, tetapi tidak memberi bekas. Kereta semakin hampir dengan lembaga berkenaan. Mahu tidak mahu dia terus merempuh, dan merasa keretanya bukan melanggar lembaga tadi sebaliknya menerpa ke tebing. Semasa keretanya terbabas, Ustaz Badur lama terduduk di bangku depan. Dia tidak tahu apa sudah berlaku. Hendak dikatakan pengsan tidak pula, kerana dia sedar apa yang berlaku ketika itu. Dia tahu Zaqlul yang mula-mula keluar dari kereta dan memanggilnya.

Mak Seha juga tergamam. Dadanya tersendal ke depan, tetapi dia juga tidaklah pengsan. Dia masih ingat Zaqlul memanggil-manggilnya suruh keluar. Dalam hujan renyai-renyai itulah Zaqlul menahan sebuah kereta yang sedang hendak menuju ke Ipoh. Dengan bantuan pemandu kereta itulah mereka bertiga dibawa ke hospital Tanjung Malim. Ketika ini Zaqlul tidak sedar bahawa tangannya patah semasa kereta terhumban ke tebing.

Setelah sampai di hospital barulah dia merasa tangannya sakit. Pemandu yang menolongnya itulah juga yang menelefon menantunya Munir memberitahu tentang kemalangan tersebut.

"Mujurlah juga ada orang mahu menolong saat-saat begini" ujar saya sambil melihat kesan melecet pada dahi Ustaz Badur.

"Orang tua macam saya ni, tentulah dia orang nak tolong. Lagipun inilah sebahagian dari pertolongan Allah juga" katanya perlahan.

Memang pada zahirnya kita melihat makhluk yang membantu kita dalam kesusahan demikian, tetapi sebenarnya hati makhluk itu digerakkan oleh Allah supaya memberikan pertolongan. Inilah dimaksudkan oleh Ustaz Badur pertolongan dari Allah itu. Bagaimana kisah dia  terserempak lembaga berpakaian serba putih di Tanjung Malim, hingga menyebabkan keretanya terbabas itu tidaklah mendebarkan sangat hatinya. Masa ini dia sempat membaca Qulhuallah beberapa kali. Sebab itu dia dapat merasakan kemalangan yang menimpanya itu  tidaklah berat. Biasanya kalau kereta terbabas di situ jarang orangnya selamat. Kalau tidak pun kereta akan remuk teruk terhumban ke bawah ke bawah gaung.

Malah semasa Zaqlul keluar dari kereta, memang Ustaz Badur membaca Fatihah 17 kali, diikuti dengan Ayat Kursi 17 kali dan Surah Yassin. Dalam masa inilah Zaqlul menahan sebuah kereta yang dalam perjalanan menuju ke Ipoh. Pemandu kereta itu berbangsa CIna, telah menolong Ustaz Badur sehingga semua kesnya selesai. Kira-kira jam 3.00 pagi, barulah lelaki Cina itu meneruskan perjalanannya ke Ipoh.

"Begitulah Allah memberi pertolongan" kata Ustaz Badur tersenyum. "Tiba-tiba saja lelaki Cina itu lalu, dan terus bersusah payah menolong saya. Kalau kita benar-benar beriman kepada Allah, kita akan sedar bahawa itulah pertolongan Allah yang sebenar-benarnya" dia menjelaskan dengan terharu.

Saya mengangguk-ngangguk kepala. Tidak hairan kepada saya mengapa Ustaz Badur berkata demikian, kerana orang yang bertaqwa kepada Allah sentiasa bersyukur di atas segala pertolongan yang diterimanya dari Allah. Kita berterima kasih kepada orang yang menolong, tetapi bersyukur kepada Allah kerana kudrat dan iradatNya jua menyebabkan orang tersebut datang memberikan pertolongan.

Kadangkala inilah yang disalahertikan oleh mereka yang ingin mempelajari ilmu. Saya pernah didatangi oleh seorang pemuda yang beriya-iya sangat mahu mendapatkan ilmu yang boleh mengalahkan musuh. Saya memberitahunya bahawa tudak ada ilmu itu pada saya.

"Kenalah awak cari orang lain untuk berguru, kerana saya tidak pernah belajar ilmu macam tu" kata saya. "Kalau awak mahu kalahkan musuh, janganlah cari musuh" ujar saya sengaja bergurau.

"Tapi Ustaz, kalau kemenyan sebesar lutut tak dibakar, mana nak ada bau" dia masih mendesak mahukan saya mengajar dia, sedangkan saya sebetulnya tidak ada ilmu sedemikian.

Disebabkan dia bersungguh-sungguh sangat mendesak, saya pun menyuruh dia hafalkan doa Haikal. Tidak lama kemudian dia datang memberitahu bahawa doa yang saya ajarkan itu tidak memberi bekas, kerana dia telah diserbu oleh beberapa orang lelaki.

"Dia pukul awak?" tanya saya.

Pemuda itu menggeleng kepala. "Tetapi dia mengancam mahu memukul saya" ujarnya macam kesal.

"Apa salah awak?" soal saya lagi.

"Dia tuduh saya ganggu adik perempuannya" beritahunya masih tidak puas hati kerana dia menuduh saya mengajar doa yang bukan dihajatinya.

Pemuda itu memberitahu dia telah dikepung oleh 7 orang pemuda, masing-masing ada membawa senjata. Dia balik dari menghantar seorang gadis yang baru dikenalinya, tetapi salah seorang pemuda itu mendakwa wanita itu adiknya, dan seorang lagi tunangnya. Dalam keadaan tergamam dia membacakan doa yang saya ajarkan itu. Tidak lama kemudian 7 orang pemuda itu pun pergi meninggalkan dengan memberi amaran supaya jangan mengganggu gadis berkenaan. Pada sangkaan pemuda itu apabila dibacakan doa tersebut, maka 7 orang pemuda yamg mengepungnya itu akan terpelanting seperti daun-daun kering ditiup angin.

"Sepatutnya awak bersyukur kepada Allah, kerana pemuda itu tidak jadi memukul awak" saya mengingatkan dia bahawa pertolongan Allah selalunya datang secara tidak kita sedari. "Kalau awak nak tengok dia terpelanting, itu bukan kuasa kita" kata saya seterusnya.

Itulah yang saya katakan bahawa orang yang tidak mengerti apa itu pertolongan Allah sukar untuk saya memberitahunya. Terutama pemuda-pemuda yang ghairah mahu mendapatkan ilmu kebatinan, mereka merasa apabila dibacakan doa-doa tertentu maka musuh yang dihadapi akan terpelanting atau sebagainya. Yang penting kita jangan mencari musuh, kalau kita tidak mencari musuh tentulah diri kita tidak ada musuh. Anehnya, mereka mencari ilmu kerana mahu menentang musuh, bukannya untuk berserah diri kepada Allah. Sebab itulah saya bersetuju dengan Ustaz Badur bahawa dia sentiasa bersyukur, walaupun mendapat kemalangan jalanraya ketika itu. Dia bersyukur kerana tidak menderita akibat kemalangan itu, di samping ada pula orang yang mahu menolongnya ketika itu.

"Terserempak lembaga tu, tak pelik sangat pada saya Ustaz" beritahu Ustaz Badur tersenyum. "Ada lagi yang pelik kalau Ustaz nak dengar" katanya mengingatkan sesuatu.

Inilah yang seronoknya kalau saya bertemu Ustaz Badur. Ada saja cerita yang hendak dicakapkan kepada saya. Dia memang kaya dengan pengalaman, malah pernah kena tahan oleh British sebelum merdeka dulu kerana penglibatannya dalam gerakan Islam, tetapi pihak British menuduhnya sebagai puak pelampau. Lama juga dia ditahan di Melaka, sebelum dipindahkan ke Morib. Dalam masa dahinya masih lebam-lebam akibat kemalangan jalanraya itu, dia masih bersemangat mahu menceritakan dengan saya mengenai pengalamannya yang lain.

"Ustaz nak cakap fasal kena tahan dulu?" tanya saya mengusiknya.

"Eh mana boleh kisah macam tu juga. Kisah tu dah habis dah, negeri kita dah merdeka, buat apa kenang lagi kisah tu" dia tersengih-sengih, kerana saya selalu mengusiknya untuk mengetahui kisah-kisah dirinya semasa ditahan oleh British dulu. Kadangkala dia memang enggan menceritakan balik kisah semasa ditahan di khemah tahanan dulu. Ketika itu mereka tidaklah menerima layanan yang sempurna. Makan pun diberi nasi kawah. Kekotoran dalam khemah tahanan terpaksa dibersihkan sendiri, kalau tidak semua kawasan akan berbau busuk dengan najis. Dia banyak mengenali tokoh-tokoh utama yang sama ditahan dulu, tetapi enggan memberitahu sama ada tokoh-tokoh itu mengenali dia.

"Saya orang kecil, Ustaz. Mana dia orang nak kenal" katanya mengukir senyum. Saya tahu Ustaz Badur memang suka merendah diri.

Ceritanya yang dikatakan oleh Ustaz Badur lebih pelik dari cerita dia terbabas kereta kerana terserempak perempuan berpakaian serba putih di Tanjung Malim itu berlaku dalam tahun 1976. Ketika ini dia mendapat tahu kawannya yang tinggal di Puchong telah meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur. Kawannya itu Salihin sudah lama menderita sakit. Sudah dua minggu Salihin terlantar di hospital kerana menghidap sakit barah perut. Disebabkan Puchong agak jauh, jadi Ustaz Badurlah yang diharapkan oleh isteri Salihin. Manakala Ustaz Badur pula tidaklah keberatan menolong kawannya ini, apalagi dalam masa kesusahan sedemikian.

"Saya ni teruk sangat sakitnya, Ustaz" beritahu Salihin terketar-ketar sewaktu Ustaz Badur melawatnya pada jam 2 petang. Nafas Salihin juga kencang turun naik, tetapi dia begitu tabah menahan kesakitan yang menyeksa.

"Jangan banyak fikir Lihin" kata Ustaz Badur menahan kesedihan kerana ketika ini Salihin juga ada di sisinya. "Awak ingatkan awak sakit aje sudah, yang lain biar kita semua usahakan" dia mengingatkan kawannya itu supaya bersabar.

"Di sini Ustaz samalah macam keluarga kami" Salihin tersengguh-sengguh terharu, kerana budi Ustaz Badur kepadanya terlalu banyak semenjak 2 minggu dia dimasukkan ke hospital. Selama itu memang Ustaz Badur suami isteri lah yang mengambil berat terhadap dirinya. Sudah menjadi perangai Ustaz Badur pula, apabila berkawan dia sanggup bersusah payah membantu apabila kawannya menghadapi kesulitan. Bagi Mak Seha sikap suaminya ini memang sudah difahaminya sejak muda lagi. Sebab itu dia juga turut sama bersusah payah membantu keluarga Salihin.

Disebabkan dia ada kereta jadi senanglah dia mengulangi Salihin mengulangi Salihin di hospital, dan sekiranya isteri Salihin mahu mandi atau berehat, maka akan dibawanya ke rumahnya. Semua jasa baik Ustaz Badur ini sangat menambat hati Salihin, kerana saudara maranya sendiri tidak seperti Ustaz Badur.

"Kalau Ustaz banyak kerja di kedai, tak payahlah susah-susah jenguk saya" ujar Salihin lagi.

"His, jangan banyak ingat Lihin. Awak tu sakit.." Ustaz Badur memarahinya, kerana dia tidak meminta jasa baiknya dibalas orang. Dia hanya menolong Salihin, bukan saja disebabkan kawan tetapi makhluk Allah yang memerlukan pertolongan. Ketika dia balik meninggalkan Salihin kira-kira pukul 3.00 petang, kawannya itu kelihatan riang, walaupun menderita sakit. Dia tahu Salihin terlalu tabah menahan kesakitan yang dideritainya. Salihin seolah-olah menyembunyikan kesakitannya untuk menggambarkan kegembiraan dengan jasa baik yang dicurahkan oleh Ustaz Badur selama ini.

"Saya balik dulu Lihin, nanti malam datang pulak" beritahu Ustaz Badur.

Dia berdoa biarlah Lihin, nanti cepat sembuh. Penyakit barah memanglah merbahaya, tetapi doktor memberi jaminan penyakit Salihin masih boleh diselamatkan. Malah Salihin juga sudah kelihatan segar kalau dibandingkan dengan sewaktu dia dimasukkan ke hospital dulu. Pembedahan yang dijalankan ke atasnya juga memuaskan hati doktor.

Kira-kira pukul 5.00 petang Ustaz Badur diberitahu oleh isteri Salihin bahawa suaminya sudah meninggal dunia. Jadi, terpaksalah dia meminta Ustaz Badur menguruskan hendak membawa jenazah itu balik ke Puchong. Mendengarkan kawannya sudah meninggal dunia, memang Ustaz Badur rusuh juga disebabkan isteri Salihin bukanlah tahu sangat apa yang perlu dibuat. Lebih kurang pukul 6.00 Ustaz Badur sampai ke hospital, jenazah Salihin sudah dimasukkan ke Mortuary (rumah mayat). Isteri Salihin hanya menangis saja di kantin kerana tidak tahu apa lagi harus dibuat. Dia hanya menunggu saja kedatangan Ustaz Badur. Kepada Ustaz Badur sajalah diserahkan semua urusan untuk membawa jenazah  suaminya balik ke Puchong.

Tidak lama kemudian barulah adik Salihin dari Sungai Besar datang, setelah diberitahu oleh Ustaz Badur melalui telefon. Mujurlah Kahar adik Salihin cepat mendapat berita, dan terus saja datang ke Kuala Lumpur. Dengan adanya Kahar  waris terdekat Salihin, urusan untuk membawa balik jenazah lebih mudah. Di samping itu anak-anak Salihin juga sudah diberitahu oleh Kahar. Salihin pun hanya mempunyai dua orang anak perempuan saja. Masing-masing sudah mengikut suaminya. Semasa Salihin sakit mereka tidaklah dapat berulang ke hospital, tetapi menjaga rumah Salihin di Puchong. Lagi pun mereka mempunyai anak-anak yang kecil, menjadi kesulitan pula untuk membawa budak-budak itu menziarahi datuknya.

Oleh itu mereka biarkan emaknya saja menjaga Salihin di hospital. Sementara Ustaz Badur yang memahami kesulitan keluarga berkenaan bersedia pula memberikan jasa baktinya menolong sesama insan. Sehingga jam 8.00 malam barulah Ustaz Badur bersama Kahar dapat menguruskan untuk membawa balik jenazah Salihin ke Puchong.

Setelah doktor mengesahkan Salihin meninggal dunia, jenazahnya pun dihantar ke Mortuary (rumah mayat). Semasa mereka mengambil jenazah Salihin di Mortuary kedua-dua menantu Salihin pun sampai. Ini memudahkan lagi kerja mereka. Akop menantu Salihin yang tua disuruh memandu kereta Ustaz Badur dengan membawa isteri Salihin dan Mak Seha menemankannya. Sementara Rasul menantunya yang muda bersama-sama dengan Ustaz Badur dan Kahar membawa jenazah dengan kereta yang diberi oleh pihak hospital.

"Terima kasihlah Ustaz, jasa Ustaz tak dapat kami bayar dengan emas ringgit" isteri Salihin tersengguk-sengguk menangis apabila jenazah suaminya dibawa masuk dalam kereta jenazah.

"Jangan menangis Cik Som, kita selesaikan dulu Salihin ni. Lepas tu baru nak cakap apa pun" sahut Ustaz Badur sambil menolak Salihin masuk ke keretanya. Mak Seha juga menarik Som ke dalam kereta supaya dia tidak berlarutan menangis. Memang Som terasa sedihnya bukan kerana kematian Salihin, tetapi sejak dua minggu Salihin dimasukkan ke hospital, saudara mara yang lain tidak dapat melawat. Sebaliknya Ustaz Badur yang hanya kawan suaminya sanggup berulang alik mengambil berat tentang suaminya di hospital. Sampailah Salihin meninggal dunia, Ustaz Badurlah yang tidak kenal penat lelah membantu.

Akob membawa kereta Ustaz Badur balik dahulu ke Puchong. Dia tidak dapat mengulangi bapa mertuanya di hospital selama ini kerana bekerja sebagai pemandu kereta membawa lori JKR, tentulah sukar mendapat cuti lama-lama. Itu pun dia sudah menyuruh isterinya menjaga rumah mertuanya. Selepas semuanya siap, mereka pun membawa jenazah Salihin balik. Kahar dan Ustaz Badur duduk di belakang bersama jenazah, manakala Rasul menantu Salihin duduk di hadapan.

"Alhamdulillah, selamat semuanya" kata Ustaz Badur memandang Kahar.

Kahar mengangguk. Dia juga merasa lega kerana masalah di hospital sudah dapat diselesaikan dengan bantuan Ustaz Badur. Kadangkala untuk mendapatkan kereta mayat bukanlah mudah, kalau tidak tahu bagaimana caranya. Ustaz Badur dapat menguruskannya kerana dia juga mengenali beberapa orang pegawai di hospital berkenaan.

"Esoklah kita kebumikan" beritahu Kahar lemah. "Malam ni tak sempat, lagi pun dah pukul 8.30" ujarnya sambil melihat jam di tangan.

"Iyalah, eloklah besok saja" sambut Ustaz Badur.

Sekali sekala Kahar mengerling ke arah jenazah abangnya yang terbujur kaku, tetapi kadang-kala bergerak-gerak juga mengikut gegaran kereta yang berlari kencang. Dia tidak peduli sangat jenazah itu bergerak dalam keadaan kereta laju. Apabila masuk ke jalan Puchong selepas Jalan Kelang Lama, Kahar cepat-cepat menepuk bahu Ustaz Badur bila dilihat tangan jenazah terkeluar dari selimut yang menyelubunginya. Berdebar juga Ustaz Badur bila dilihatnya tangan jenazah terkeluar itu bergerak-gerak. Tetapi dia segera mengingatkan bahawa gegaran kereta itu yang menyebabkan tangan tersebut bergerak-gerak.

Kahar mula merasa takut, kerana tidak mungkin tangan yang bergerak-gerak itu disebabkan gegaran kereta. Dia mula gelisah. Mukanya jelas gementar kerana jelas tangan itu bukan bergerak disebabkan gegaran kereta. Mustahillah abangnya masih hidup kerana 4 jam dimasukkan dalam Mortuary yang sejuk seperti peti ais itu.

"Ustaz..." dia memanggil Ustaz Badur.

Ustaz Badur tahu Kahar ketakutan. Oleh itu cepat-cepat dia memegang tangan jenazah yang terkeluar untuk dimasukkan semula ke bawah selubungnya. Tetapi sebaik saja dia memegang tangan berkenaan, sekaligus tangan itu memaut tangannya pula. Kahar sudah mahu terjun melarikan diri, tetapi segera ditahan oleh Ustaz Badur.

"Hus, nak apa ni?" jerkah Ustaz Badur memberanikan hati. Bagaimanapun dia tidak lepas dari membaca Ayat Kursi.

"Nak minum, minta air..." sahut Salihin yang sudah meninggal dunia itu cuba mengangkat kepala.

"Tidur dulu, balik ke rumah nanti baru minum" sengaja Ustaz Badur mengeraskan suaranya.

Jenazah Salihin pun diam. Sehingga sampai di rumahnya di Puchong ternyata Salihin masih hidup. Apabila dibawa ke rumah terus dia minta air. Satu malam itu menjadi tertanya-tanya bagaimana Salihin yang sudah disahkan mati itu boleh hidup semula. Malah sudah hampir 4 jam dimasukkan ke dalam rumah mayat yang sejuk seperti peti ais. Bagaimanapun 11 hari kemudian barulah Salihin meninggal dunia. Sekali lagi doktor mengesahkan bahawa dia benar-benar telah meninggal dunia.

"Itulah kuasa Allah yang lebih besar dari terserempak lembaga berpakaian serba putih itu" ujar Ustaz Badur tersengih-sengih mengerling ke arah saya. "Perkara di Tanjung Malim itu perkara kecil pada saya Ustaz, tetapi perkara orang yang telah disahkan mati, sudah dimasukkan ke dalam peti sejuk hampir 4 jam, kemudian hidup semula sehingga 11 hari di rumah lebih besar ertinya, kalau kita mahu memahami akan kebesaran Allah, Inna fizalika liayaatin likulli sabbarin syakur.. keluhnya sambil mengesat pelupuk mata yang mula digenangi air keharuan.

TAMAT