SAHABAT

Selasa, 29 Mac 2011

LEMBAGA BERKELAHI SESAMA SENDIRI


MATAHARI sudah tergelincir hingga bayang pohon-pohon getah juga menjadi redup, semasa Pak Tua Mahat menyandarkan basikalnya di sebatang pokok getah tua. Dia memang tahu kebun getah kepunyaan Haji Mat Deman adik iparnya itu di darat kampung, kerana Ngah Jiyah sendiri memberitahu abangnya di kawasan kebun getah itu memang keras puakanya. Tetapi Mat Deh tidak percaya sangat dengan cerita emaknya mengenai puaka di kawasan kebun getah itu. Ngah Jiyah percaya mengenai puaka di situ disebabkan kebun getah itu dibeli oleh suaminya semasa selepas Jepun memerintah. Di sempadan dengan kebun getah sebelahnya terdapat dua buah kubur lama yang dipercayai tuan punya tanah tersebut  sejak lebih tujuh keturunan. Kubur lama itu terletak di atas busut tinggi sehingga jelas nampak batu nisannya yang tergendeng separas pinggang. Ngah Jiyah juga mendengar cerita mengenai batu nisan itu yang hidup kerana pada mulanya hanya seketul batu dari sungai saja diletakkan di situ. Tetapi selepas lebih tujuh keturunan itu batu berkenaan dikatakan hidup lantas meninggi sehingga sampai separas pinggang.

Namun Mat Deh tetap tidak percaya dengan cerita emaknya. Sekalipun Ngah Jiyah merasa seram juga apabila melintasi kubur lama itu apabila datang ke kebun getah itu semasa musim langsat berbuah, tetapi rasa seram itu segera hilang kerana dia datang bersama suami, anak-anak dan cucunya. Lagipun, kebun getah itu sudah ditebas terlebih dulu oleh Haji Mat Deman. Itu jugalah sebabnya Haji Mat Deman meminta Muhis menebasnya kerana pokok-pokok langsat di kebun itu sudah mula berputik. Memang di kebun getah itu banyak terdapat pokok-pokok langsat yang sudah tua. Dari pokok-pokok langsat inilah buahnya lebih manis dari pokok-pokok langsat biasa. Sebab itulah Haji Mat Deman tidak akan menebang pokok-pokok langsatnya, kerana setiap tahun apabila musim langsat berbuah hasilnya amat menyenangkan hati.

Pak Tua Mahat berdiri berhampiran dengan pokok getah tempat basikalnya disandarkan. Matanya liar memerhati di sekitar kawasan yang sudah ditebas oleh Muhis. Sekali-sekala dia memandang juga ke arah busut kubur lama tidak jauh dari tempatnya berdiri. "Kalau kau tubuh halus nak mengganggu, balik kau!" katanya sambil meludah tiga kali ke arah kubur yang tersegam tidak jauh darinya. "Tanah ini bukan lagi dalam jagaan kau, biarlah tubuh kasar yang menjaga tanah ini, kau tubuh halus balik ke tempat asal kau, jangan ganggu anak cucu di sini..." ujarnya maacam bercakap dengan seseorang. Kemudian dia terus melangkah ke kawasann yang sudah ditebas oleh Muhis itu. Beberapa langkah dia berjalan, Pak Tua Mahat menoleh ke arah yang diagaknya Muhis tersungkur sewaktu menerkam burung puyuh sedang mengeram. Tetapi amat sukar dia mahu meramalkan di mana Muhis menemui burung puyuh sedang mengeram itu.

Puas dia mencari-cari, Pak Tua Mahat memusingkan badannya menghadap ke arah dua buah kubur lama yang tersergam di atas busut tidak jauh dari situ. Dia menuding jari telunjuknya ke arah kubur itu, sambil tumit dihentakkan ke bumi. Ketika ini dia merasakan angin kencang bertiup di sekitar kebun getah itu hingga desirannya terasa menggerunkan. Tetapi Pak Tua Mahat tetap bertahan di situ dengan mengucapkan: huwa-auwallu  wal-akhiru  wal-zahiru  wal-batinnu, wahuwal  'alla  kulli  syai-in-qadir. Sejurus kemudian angin kencang itu berhenti, Pak Tua Mahat dapat mendengar titisan hujan turun menimpa daun-daun. Hujan itu tidaklah lebat kerana silauan matahari masih memancar. Dia dapat menduga ketika ini hujan panas turun seolah-olah geruh sedang menunggunya. Tetapi Pak Tua Mahat sudah biasa menghadapi keadaan demikian. Dia menunggu sesuatu menjelma di situ, tetapi tidak ada apa-apa pun kelihatan di atas kubur tersebut. "Kalau bukan kau, aku minta maaf tubuh halus." katanya perlahan lantas menurunkan tangannya dari menuding ke arah kubur tersebut. Kemudian dia berpaling ke sekeliling kawasan yang sudah ditebas oleh Muhis memerhatikan tempat Muhis menemui sarang burung puyuh mengeram. Puas dia memerhatikannya tetapi tidak juga bertemu kesan sarang burung berkenaan.

Ketika dia mendongak ke atas Pak Tua Mahat ternampak sarang tebuan tergantung di dahan sebatang pokok getah. Perdu pokok getah tersebut terdapat kesan sudah ditebas oleh Muhis. Berdebar juga hati Pak Tua Mahat kerana tebuan-tebuan itu tidak menerkam semasa perdu pokok getah itu ditebas. Biasanya tebuan-tebuan mudah menyerang mangsa apabila sarangnya diganggu. Mata Pak Tua Mahat merenungi sarang tebuan itu tepat-tepat dengan tidak berkelip. Kemudian perlahan-lahan dia membisikkan: waman  'arafa  nafsihi  faqad  'arafa  rabbihi, lantas dia menghentak-hentakkan tumitnya ke tanah. Setelah merasakan dirinya cukup yakin dengan apa yang dilihatnya, Pak Tua Mahat merapatkan dua tangannya ke dada sambil menyebut perlahan, "Tegak aku seperti alif, berlindung aku seperti zat." Sekaligus pula dia meneguk air liurmya sambil menghela nafas panjang seperti menyedutnya jauh-jauh ke dalam diri.

Pak Tua Mahat sudah tidak merasakan dirinya tertegak di tengah kebun getah mendongak sarang tebuan yang tergantung  pada dahan pokok getah tua tidak jauh darinya. Dia tersenyum apabila tiba-tiba saja tercegat di satu kawasan lapang yang tersergam sebuah rumah besar dengan dipagar ruyung nibung kukuh di sekelilingnya. Di tengah halaman rumah itu seorang perempuan muda yang cantik dengan rambutnya mengurai sampai ke punggung sedang menabur padi seolah-olah memberi ayam makan. Tetapi yang berkerumun mematuk padi yang ditabur oleh perempuan muda itu bukanlah ayam yang berebut-rebut, tetapi burung-burung puyuh yang terlalu banyak. Pada mulanya dia tidak perasankan Pak Tua Mahat berdiri di luar pagar, tetapi apabila dia mengangkat muka, matanya bertentang dengan Pak Tua Mahat.

"Awak rupanya...," cepat-cepat Pak Tua Mahat menegur sebaik saja mereka berpandangan. "Eh, Tok Pawang buat apa ke mari ni?" soal perempuan itu semacam terkejut dengan kunjungan Pak Tua Mahat ke situ. "Nak cari awak laa," sahut Pak Tua Mahat tegas. "Tok Pawang ni macam nak cari musuh aje nampaknya," sindir perempuan muda itu lalu menghalau burung-burung puyuh yang berebut-rebut mematuk padi yang ditaburkannya. "Kalau awak terima kedatangan aku dengan baik, baiklah jadinya," ujar Pak Tua Mahat macam mengejek. "Tapi, kalau awak sengaja nak cari geruh, belumlah tahu geruh siapa lagi!" dia meninggikan suara seolah-olah memberi amaran. "Kami tak faham maksud awak ni, Tok Pawang," perempuan muda itu tersengih-sengih. Belum pun sempat Pak Tua Mahat masuk ke kawasan pagar rumah itu dia merasakan bumi bergegar kuat menyebabkan rumah tersergam itu ikut sama bergegar. Perempuan muda itu terjerit ketakutan berlari-lari sekeliling halaman. Kemudian dia cuba mendekati Pak Tua Mahat, tetapi kakinya terbenam menyebabkan dia terkial-kial mahu melepaskan diri. Pak Tua Mahat undur ke belakang dua tiga langkah mahu memastikan dari mana ancaman itu datang. Matanya liar mengerling ke kiri dan ke kanan, tetapi tidak kelihatan apa-apa kecuali gegaran yang kuat dan asap keluar berkepul-kepul dari rekahan tanah.

"Tolonglah kami Tok Pawang," rayu perempuan muda itu terkial-kial mahu melepaskan kakinya yang terbenam di bumi. Dia melambai-lambaikan tangannya dengan harapan mendapat belas kasihan dari Pak Tua Mahat. Tetapi Pak Tua Mahat masih ragu-ragu siapakah yang membuat angkara kerana tiba-tiba saja ancaman itu datang. Hatinya masih belum dapat menduga sama ada ancaman itu untuk memerangkap dirinya, atau mahu memusnahkan perempuan itu. Bagaimanapun yang jelas pada penglihatannya perempuan muda itu sendiri yang terancam keselamatannya. Dia tidak boleh membantu perempuan muda itu selagi tidak diketahuinya punca sebenar gegaran bumi tersebut. Sebaik saja kakinya menjejaki kawasan lapang itu dia sudah dapat melihat bahawa tempat itu memang dikuasai oleh perempuan muda berkenaan. Burung-burung puyuh yang berkeliaran sewaktu perempuan muda itu menaburkan padi, amat jelas menunjukkan tempat yang dicarinya sudah pun ditemui. "Tolonglah kami Tok Pawang..." ulangi perempuan muda itu merayu-rayu dengan berhiba hati. "Siapa nak tolong kau..., kau tu syaitan!" bentak Pak Tua Mahat tersenyum setelah melihat Mat Deh tercegat di penjuru pagar. Di sekeliling Mat Deh cahaya putih melingkarinya, sehingga perempuan muda itu tidak dapat merapatinya sekalipun kalau kakinya tidak terbenam di bumi. Beberapa kali perempuan muda itu cuba melemparkan rantai besi yang menjelma dari tangannya, tetapi rantai besi tersebut terbakar sebaik saja mencecah cahaya putih yang melingkari Mat Deh.

"Kenapa kau tak serang aku!" Pak Tua Mahat meninggikan suaranya mencabar supaya perempuan muda itu bertindak terhadap dirinya. Perempuan itu menunduk menggeleng-geleng kepala. Dia menjadi gementar setiap kali matanya bertentangan memandang Pak Tua Mahat. "Cuba kau serang aku...!" jerkah Pak Tua Mahat menampar-nampar dadanya seolah-olah mengejek. "Aku hendak sangat geruh kau, cepat!" katanya keras menghentak-hentak tumit ke bumi. Sekaligus pula bumi yang dipijak bergegar lagi menyebabkan rumah tersergam hampir tersembam ke tanah. Pagar kukuh dari ruyung nibung juga sudah terbongkar habis, terpelanting berselerak di merata tempat. Dua tiga tunggak pagar keras dari ruyung nibung sudah terpelanting menusuk ke dada perempuan berkenaan. Dia termengah-mengah menahan kesakitan akibat tertusuk ruyung nibung yang tercacak di dadanya. "Tak kasihan ke tengok kami..., tak malu ke awak semua berlawan dengan perempuan?" suara perempuan itu terketar-ketar meminta belas kasihan. "Kau syaitan, tak boleh dikasihani!" bentak Pak Tua Mahat.

Perempuan itu mengerling ke arah Mat Deh yang tercegat di sudut pagar dikelilingi silauan cahaya putih. Terkial-kial dia cuba melepaskan ruyung nibung yang tercancang di dadanya. Sebaik saja gegaran bumi terhenti dia tiba-tiba melompat ke atas bumbung rumah yang sudah tersenget. Ruyung nibung di dadanya juga tercabut lantas menjunam menuju ke arah Mat Deh. Bagaimanapun ruyung nibung itu tidak menyinggahi Mat Deh, kerana hangus terbakar apabila melintasi silauan cahaya yang memutih itu. "Ilmu apa orang muda ni pakai?" rungut perempuan itu memusingkan dirinya lantas menukar bentuknya kepada seorang lelaki tua yang bertanduk di kepala. Sekaligus pula dia melepaskan wap api dari nafasnya yang dihembuskan ke arah Mat Deh. Api yang menyala itu terus padam sebaik saja mencecah silauan putih yang mengelilingi Mat Deh. Kemudian Mat Deh mula membacakan: hazihhi jahannamullati kuntum tu 'adun, berulang kali menyebabkan angin kencang bertiup dari segenap penjuru memadamkan semua api menyala dari nafas lelaki tua tersebut.

"Kau tak lepas ke mana, sekarang kau dah merupa!" Pak Tua Mahat bertempik hingga dilihat oleh Mat Deh tubuhnya menjadi besar melebihi rumah yang tersergam itu. "Kau tak dapat nak berlindung lagi...," jerkahnya lantas menyambar lelaki tua di atas bumbung rumah ke dalam genggamannya. "Ampun Tok Pawang...," rayu lelaki itu terkial-kial dalam genggaman Pak Tua Mahat. "Kami takkan melawan Tok Pawang kami nak berlawan dengan orang muda ni!" katanya masih berkeras mahu menentang Mat Deh. "Kau tak boleh lawan dia, kau takkan menang," kata Pak Tua Mahat meludah muka lelaki yang sudah tesepit dalam genggamannya. Lelaki tua itu sudah menjadi kecil seperti anak tikus yang sudah tidak berdaya lagi melawannya. "Aku mau kau  lepaskan Muhis, kalau tidak aku hempaskan kau ke batu...," dia menguatkan genggamannya menyebabkan lelaki itu terjerit-jerit meronta. "Kami tak tau... lelaki tua itu menangis teresak-esak mengharapkan belas kasihan dari Pak Tua Mahat. Ancaman itu sudah tidak dapat dielakkannya. Dia tidak dapat melepaskan diri setelah Pak Tua Mahat bertindak. Memang dia mengetahui kemampuannya tidak akan dapat menandingi kebolehan Pak Tua Mahat. Sebab itulah dari awal lagi dia mencari helah supaya Pak Tua Mahat tidak bertindak terhadap dirinya.

"Cakap...!" suara Pak Tua Mahat bergaung kuat menyebabkan dia menekup telinganya dua belah tangan. "Lepaskanlah aku dulu...," rayunya terketar-ketar. Pak Tua Mahat melepaskan lelaki tua itu ke tengah halaman. Tetapi dia mengawasi gerak-geri lelaki itu dengan berdiri meletakkan rumah tersergam itu di bawah kangkangnya. Tiba-tiba asap berkepul-kepul keluar dari bumbung atap, tetapi segera dihembus kuat oleh Pak Tua Mahat. Sebaik saja asap itu hilang, rumah yang tersergam itu juga tersembam ke bumi. Muhis keluar dari runtuhan rumah tersebut dengan tangan sebelah kirinya dibelit oleh seekor ular besar. Terkial-kial dia cuba mahu melepaskan tangannya dari belitan ular tersebut, namun cerutan ular berkenaan semakin kukuh. Secepat kilat pula Mat Deh menyambar Muhis membawanya masuk ke dalam lingkaran silauan cahaya putih yang mengelilinginya. Sewaktu Muhis ditarik masuk, ular yang membeliti tangannya cuba menarik keluar hingga terpaksa beregang-regang dengan Mat Deh. Kemudian Mat Deh meletakkan tangannya pada bahu kiri Muhis lantas dilurutnya ke bawah. Apabila tersentuh saja tangan Mat Deh kepada tubuh ular yang membaluti tangan Muhis, kepala ular itu cuba menerkam untuk mematuk tangan Mat  Deh. Setiap kali kepalanya cuba mematuk, kepalanya semakin hangus terbakar apabila menyinggahi silauan cahaya putih yang memagari Mat Deh. Akhirnya ular berkenaan terpaksa melepaskan belitannya hingga terpelanting berhampiran dengan kaki lelaki tua yang tercegat di tengah halaman. Sebaik saja ular itu jatuh berlonggok di kaki lelaki tua itu, kepulan asap berpusar di situ hingga menjelma seorang perempuan muda memakai pakaian halus seperti sutera. Dia semacam tidak puas hati apabila Muhis terlepas dari tawanannya. Perempuan muda itu bersama lelaki tadi berlegar-legar di tengah halaman mahu bertindak balas. Sekali-sekala lelaki tua itu mengerling ke arah Pak Tua Mahat yang tercegat melihat gerak-gerinya, tetapi dia tidak berani bertindak kerana tubuh Pak Tua Mahat dilihatnya membesar seolah-olah kapalanya mencecah ke awan.

"Tok Pawang jangan campur, biar kami cuba permainan orang muda ni," laung perempuan muda itu menyatakan rasa tidak puas hatinya. Pak Tua Mahat mengangguk seolah-olah memberi peluang kepada perempuan muda itu. Bagaimanapun dia menyindir perlahan, "Awak orang bunian, takkan boleh menentang Mat Deh. Sedangkan awak nak larikan Muhis pun tak dapat, inikan pula nak berlawan...!" Peluh memercik di dahi lelaki tua itu setelah Pak Tua Mahat dapat menentukan jenisnya sebagai orang bunian. Apabila asal usulnya sudah diketahui, dia tidak akan boleh mempertahankan diri. Ketika ini seluruh tubuhnya rasa gementar, tetapi dia cuba berpura-pura menunjukkan masih mampu mahu menandingi Mat Deh dan Muhis. Pada mulanya memang perempuan muda itu mahu melarikan Muhis. Dia tahu Muhis masih mampu bertahan dari gangguannya namun dia tetap berdegil mahu mengheret  lelaki itu. Sukar juga baginya  mahu mengheret Muhis sekalipun dia terus berpaut pada tangan Muhis. "Bangsat kau...!" suara Muhis mula bergema setelah disedarinya dia terperangkap  oleh bunian yang menguasai kebun getah kepunyaan Haji Mat Deman itu.

Di samping Mat Deh berzikir menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya, Muhis membacakan Fatihah, 5 ayat terawal dari Surah Al-Baqarah, ayat 163 dan 164 Surah Al-Baqarah, Ayatul Kursi, ayat 256 dan 257 dari Surah Al-Baqarah. Ketika Muhis membacakan ayat-ayat ini goncangan bumi semakin kuat menyebabkan lelaki tua dan perempuan muda itu tidak dapat lagi berjejak. "Teruskan Pak Muhis...," Muhis mendengar Mat Deh menyuruhnya meneruskan bacaan ayat-ayat tersebut. "Teruskan dengan ayat 284, 285 dan 286 Al-Baqarah, ayat 18, 19 Surah Ali-Imran..." suara Mat Deh mengingatkan dia supaya membacakan ayat-ayat tersebut. Muhis mematuhi bimbingan dari Mat Deh itu, lantas membacakan ayat-ayat tersebut yang diikutinya dari mulut Mat Deh sendiri. Setiap kali ayat-ayat itu dibacakan kawasan lapang itu itu semakin terancam, apabila batu-batu besar dan bola-bola api berterbangan dari segenap penjuru. Lelaki tua dan perempuan muda itu bertempiaran lari mahu menyelamatkan diri dari terjahan batu-batu besar dan bola-bola api. "Aku dah cakap, kau takkan boleh melawannya...," Pak Tua Mahat berdekah-dekah mengejek lelaki tua itu yang terhuyung-hayang mencari tempat berlindung. Perempuan muda yang bersungguh-sungguh mahu melawan Mat Deh itu terjerit-jerit meminta pertolongan dari lelaki tua yang termengah-mengah berlari mencari tempat berlindung.

"Ampun Tok Pawang...," lelaki tua itu melutut di depan Pak Tua Mahat merayu belas kasihan. "Kenapa kau ganggu anak buah aku?" jerkah Pak Tua Mahat. Lelaki tua itu berpaling ke arah perempuan muda di sisinya lantas menerkam marah. Asap merah berkepul-kepul keluar apabila dua lembaga itu bergomol sesama sendiri. Pak Tua Mahat tersenyum apabila mendengar Mat Deh sayup-sayup melafazkan; innahu Sulaiman wainnahu bismillahhir Rahmannirrahim. Pak Tua Mahat tahu bahawa Mat Deh sudah menggoda salah satu dari lembaga berkenaan supaya menyerang antara satu sama lain. "Memang kau lembaga syaitan boleh aku gunakan untuk menyerang golonganmu sendiri...." bisik Pak Tua Mahat kerana Mat Deh sudah menggunakan ikhtiar demikian dalam usaha tersebut. Kepulan asap merah itu semakin menebal apabila lelaki tua itu berlegar-legar mengelakkan serangan dari perempuan muda yang melepaskan beratus-ratus ekor ular untuk memerangkapnya. Lelaki tua itu memusingkan dirinya menjelma menjadi perempuan muda semula, menyebabkan ratusan ular-ular bisa yang mahu menyerangnya berpatah balik untuk menyerang perempuan muda yang satu lagi. Mereka berdua bertambah garang untuk mengalahkan antara satu sama lain, seolah-olah suara Mat Deh yang bergema itu memaksa mereka berdua saling bermusuhan. Mat Deh dan Muhis yang berdiri di satu penjuru tidak perlu lagi bertahan dari silauan cahaya putih sewaktu Mat Deh memantapkan zikirnya pada permulaannya tadi.

Muhis diajarkan oleh Mat Deh supaya membacakan ayat-ayat tertentu dari Al-Quran, sementara dia sendiri mengawasi dua lembaga perempuan itu berterkaman antara satu sama lain. Satu lembaga berlegar-legar mahu mengelak dan satu lembaga lagi mencari helah untuk menerkam. Apabila satu lembaga dapat memerangkap, mereka akan bergomol dengan ganas hingga mengeluarkan debu merah seperti asap yang berkepul-kepul ke udara. Mereka berdua seolah-olah tidak menyedari bahawa perkelahian mereka diawasi oleh Mat Deh, padahal sebelumnya mereka berdua sama-sama mahu menentang anak muda itu. "Siapa yang niat salah dengan Muhis, dialah akan musnah...," kedengaran suara Muhis bertempik sambil menghembuskan rejaman anak panah berapi beratus-ratus dari hembusan mulutnya. Rejaman anak panah itu menyinggahi belakang lembaga perempuan yang berpaut pada tangan Muhis sebelumnya. Perempuan muda itu menggeliat-geliat menjerit apabila dua tiga anak panah terlekat di belakangnya lantas membakar bahagian belakangnya. Dia tergolek ke tanah berpusing-pusing menjelmakan dirinya menjadi seekor ular seperti di peringkat awalnya. Tetapi perempuan yang satu lagi segera menghembuskan api kebiru-biruan membakar ular yang bergolek berpusing-pusing itu menyebabkan kedengaran jeritan langsing dari nyalaan api tersebut. Sehingga nyalaan api itu padam, perempuan muda itu masih kebingungan mahu mencari tempat berlindung setelah rakannya hangus menjadi debu. Dia berlegar-legar mencari jalan mahu berlindung apabila Mat Deh memulakan azan berulang kali.

"Aku tak mahu lagi kau maharajalela di sini!" bentak Pak Tua Mahat. "Habis, ke mana kami nak pergi Tok Pawang?" dia mendongak meminta belas kasihan Pak Tua Mahat. "Itu, awak punya fasal. Tapi aku tak mahu kau bertanah berair lagi di kebun adik ipar aku ni," ujar Pak Tua Mahat memberi amaran. "Ke mana kami nak pergi Tok Pawang?" ulangi perempuan muda itu terketar-ketar. "Pergilah kau jauh dari sini...," perintah Pak Tua Mahat lantas menangkap perempuan muda itu dalam genggamannya. "Kalau kau nak bertanah berair lagi di sini, Muhis dan Mat Deh akan musnahkan anak cucu kau!" kata Pak Tua Mahat seterusnya mengancam perempuan muda berkenaan. "Jangan,jangan..Tok Pawang," rayu perempuan muda itu dalam ketakutan menyelubungi dirinya. Sepantas kilat pula Pak Tua Mahat melontarkan perempuan muda dalam genggamannya itu jauh ke arah hutan belantara melangkaui bukit-bukau yang menghijau di sekeliling kampung.

Apabila Pak Tua Mahat kembali sedar dari keadaan dirinya seolah-olah seperti diserkup mimpi itu, didapatinya dia tersandar pada perdu pokok getah yang terdapat sarang tebuan tergantung di dahannya. Dia mencepak-cepak bibir memerhatikan sarang tebuan tersebut yang hanya merupakan bonggol besar sarang kelulut saja. Hujan panas yang turun menyirak-nyirak apabila dia sampai ke kebun getah itu sudah tidak ada lagi. Silauan matahari juga memancar condong dengan bayang-bayang pokok getah semakin redup menandakan Asar sudah pun masuk waktu. Setelah merasakan tugasnya selesai, Pak Tua Mahat lantas mencapai basikalnya menuju ke rumah Muhis. Semasa dia sampai di rumah Muhis, jiran-jiran masih ramai menziarahi. Mereka juga menunggu kepulangan Pak Tua Mahat yang hanya seorang diri saja pergi ke kebun getah Haji Mat Deman untuk melihat sendiri kawasan yang ditebas Muhis. Mereka tahu mengenai keistimewaan Pak Tua Mahat. Sebab itulah mereka tidak merasa bimbang membiarkan orang tua itu seorang diri saja ke tempat itu. Ludin Dobok yang ada bersama menziarahi Muhis juga menceritakan pengalamannya bersama Pak Tua Mahat semasa anak gadisnya Midah tiba-tiba saja tersengih-sengih sebaik terpandang seekor ikan haruan yang matanya berkedip.

Ketika ini Ludin Dobok sendiri kebingungan, kerana sewaktu mandi di sungai selepas menimba lubuk di hujung sawahnya, dia dapat menangkap seekor ikan haruan yang menghambur berhampiran dengannya. Mata ikan haruan juga berkedip, seolah-olah dia dapat melihat seorang lelaki teruna terpancar dari kerdipan mata ikan haruan itu. Lelaki teruna itu menuntut untuk berkahwin dengan anak gadisnya Midah. Apabila Pak Tua Mahat diberitahu, tidak bertangguh lagi orang tua itu mengajak Ludin Dobok ke hujung sawah di lubuk tempat Ludin Dobok dan isterinya Hawa menimba ikan. Peristiwa Ludin Dobok mengikut Pak Tua Mahat ke tepi lubuk itu memang satu pengalaman baru yang belum pernah dirasakannya selama ini. Masih terbayang oleh Ludin Dobok bagaimana Pak Tua Mahat menghentak kakinya tiga kali ke tanah, tiba-tiba saja dia tidak melihat lagi lubuk di depannya. Yang dilihat oleh Ludin Dobok hanya tersergam sebuah rumah besar. Dia terus mengikut saja ke mana dibawa oleh Pak Tua Mahat, sehingga bertemu seorang lelaki tua berjubah kuning.

Sebaik saja Pak Tua Mahat menaiki tangga rumah Muhis, Ludin Doboklah yang mula-mula menyambutnya. Dia membongkok bersalam sambil mencium tangan Pak Tua Mahat. "Macam mana Muhis?" tanyanya kepenatan terus masuk ke dalam mendapatkan Muhis yang masih terlentang tidak bergerak-gerak. "Macam tadi aje nampaknya Pak Tua," beritahu Senah kian rusuh melihat keadaan suaminya yang terlentang tidak bergerak. Tangannya masih tergenggam dalam genggaman Mat Deh. "Tak apa, sabarlah...," beritahu Pak Tua Mahat tersenyum seolah-olah memberitahu orang ramai di situ akan kejayaannya. "Minta air sejuk segelas, haus aku ni," katanya sambil mengurut-ngurut leher. Senah bangun perlahan menuju ke dapur untuk mengambil air yang diminta oleh Pak Tua Mahat. "Sejak tadi Ustaz pun macam ni juga Pak Tua, sama macam Abang Muhis," jelas Ludin Dobok berbisik ke telinga Pak Tua Mahat. "Tak apa..., Insya Allah, semuanya akan selamat," Pak Tua Mahat mencapai air yang dihulurkan oleh Senah. Kemudian perempuan itu duduk bertimpuh di hujung kaki suaminya sambil mengerling Pak Tua Mahat meneguk air sejuk di gelas. Ternyata orang tua tersebut benar-benar kehausan, kerana sekali gogok saja dia meminum air berkenaan. Selepas saja minum, Pak Tua Mahat menepuk bahu Mat Deh menyebabkan anak muda itu tergamam seolah-olah dikejutkan sewaktu nyenyak tidur. Sebaik saja Mat Deh melepaskan tangan Muhis, lelaki itu mula menggeliat-geliat lantas membuka matanya. "Minta aku air...," keluh Muhis perlahan kehairanan melihat orang ramai mengelilingi dia. Kemudian dia tersenyum berpaling ke arah Pak Tua Mahat dan Mat Deh. Mereka bertiga terangguk-angguk, seolah-olah sama-sama menyimpan rahsianya yang tersendiri.

TAMAT

IKAN