SAHABAT

Sabtu, 28 Ogos 2010

RINTIHAN DARI KUBUR

SEPANJANG lima bulan Daboh dalam kurungan pasung kayu, dia hanya tersengih-sengih saja setiap kali Dukun Sood datang. Kadangkala dia melambai-lambai tangan apabila Dukun Sood membakar kemenyan. Tetapi Daboh akan merungut-rungut sekiranya dia nampak Sarip Kubung tersandar pada tiang tengah.

Dukun Sood sering mengingatkan Sarip Kubung supaya tidak berkasar dengan adiknya itu. Daboh sakit hilang akal, bukannya demam biasa. Dia tidak mengganggu sesiapa, cuma tersengih-sengih saja. Dukun Sood menyuruh dikurung dalam pasung kayu, bukan bimbangkan Daboh mengganggu orang, tetapi supaya dia terkawal tidak dapat merayau-rayau ke sana ke mari.

Bila terlepas Daboh akan berjalan-jalan ke tepi sungai sambil tersengih-sengih. Perempuan-perempuan yang sedang membasuh akan bertempiaran lari bila ternampak Daboh, kerana ketakutan. Sebenarnya Daboh tidak mengusik sesiapa pun. Tetapi disebabkan takut perempuan-perempuan itu lari bertempiaran. Daboh pula akan terlompat-lompat kesukaan melihat perempuan-perempuan itu lari.

Sarip Kubung pula akan menempeleng muka adiknya itu kalau dijumpainya merayau-rayau di keliling kampung. Dia akan mengheret Daboh memaksa adiknya balik semula ke rumah. Kadang-kala menangis juga Mak Leha melihat lutut Daboh berdarah-darah kerana diheret oleh abangnya.

Kira-kira lima bulan Daboh menderita dalam kurungan pasung kayu. Kalau Dukun Sood tidak suruh demikian tentulah lebih teruk Daboh diseksa oleh abangnya Sarip Kubung. Manalah dapat menahan Daboh berjalan-jalan sambil tersengih-sengih memegang sebatang kayu, sedangkan fikirannya bukanlah seperti orang biasa. Dia hilang akal sejak beberapa lama. Puncanya tidak siapa pun tahu. Tetapi seingat-ingat Mak Leha, mula-mulanya Daboh selalu duduk termenung. Dia tidak lagi mengikut kawan-kawannya memburu ke hutan, atau memikat balam, atau mendekut wak-wak. Disuruh makan pun, Daboh tidak mahu. Dia enggan bercakap dengan sesiapa.

Kemudian sedikit demi sedikit perangainya mula berubah. Dia mula bercakap seorang diri, tersengih-sengih dan ketawa sesuka hatinya bila masa saja. Dukun Sood yang dipanggil mengubatnya hanya dapat mengatakan Daboh terkena badi hutan. "Kau tak boleh berkasar dengan adik kau, Sarip." Dukun Sood mengingatkan setelah mendengar cerita Mak Leha bagaimana Sarip Kubung melayani adiknya itu. "Dia tu kena badi, susah nak diubat. Kena bersabarlah kita menjaga dia," nasihat dukun itu.

Sarip Kubung hanya mengangguk kepala. Sebenarnya dia tidak berniat untuk bersikap kasar dengan Daboh. Tetapi apabila dipujuk baik-baik Daboh tidak mahu mempedulikannya, sebab itulah dia terpaksa berkeras. Kadang-kadang disuruh makan pun Daboh sengaja terberak atau terkencing di dalam pinggan, kecuali apabila disergah barulah dia mahu menurut perintah Sarip Kubung. "Menjaga orang macam ni memang susah" kata Dukun Sood lagi. "Tapi, kita kenalah sabar. Kalau tidak kita menjaga dia siapa lagi hendak diharapkan!" ujar orang tua itu mengingatkan.

Mak Leha memang tidak dapat berkata-kata lagi sejak Daboh jatuh sakit. Sarip Kubung berkahwin, hanya dengan Daboh sajalah dia tinggal di rumahnya. Daboh yang menyara hidupnya selama ini. Kalau patut menoreh getah, Daboh akan pergi menoreh getah. Kalau patut ke hutan mencari manau, damar atau petai, dia ke hutan bersama kawan-kawannya. Kadangkala Daboh memasang perangkap pelanduk, memburu denak, mendekut wak-wak. Memang Daboh anak muda yang rajin bekerja. Susuk tubuhnya gempal berambut kerinting, berkulit hitam manis. Boleh dikatakan dalam kampung itu dia merupakan anak muda yang tampan juga. Kalau ada kenduri kendara selalulah dia bersenda gurau dengan anak gadis di penanggah.

Tetapi semenjak dia jatuh sakit, Daboh berubah sama sekali. Tubuhnya masih gempal tetapi comot selekeh tidak terurus. Baunya hapak kerana jarang mandi. Hanya sekali sekala saja emaknya dapat memujuk menyuruh dia mandi. "Kenapa kau jadi macam ni Daboh!" rintih Mak Leha bila sekali sekala dia tidak dapat menahan perasaan terharunya melihat keadaan anaknya itu. Daboh hanya tersengih-sengih melihat emaknya menangis merintih-rintih. Kadangkala dia menggaru-garu belakang dengan menggosokkannya ke dinding. Atau dia berjalan berligar-ligar di dalam kandang kayu yang dibuat berpasung itu. Daboh tidak akan menyahut apa-apa kalau emaknya merintih-rintih di depannya.

"Nasib kaulah Daboh, kalau pendek umur emak macam manalah kau Daboh" Mak Leha menahan kesedihan yang mengganggu jiwanya. Daboh hanya tersengih-sengih. Dia tidak peduli emaknya merintih-rintih tersedu di depannya.

Sama ada Daboh terkena badi binatang hutan, Mak Leha tidaklah hiraukan sangat kerana dia tahu Daboh memang gemar berburu. Pernah juga dia mengidap sakit telinga berdarah selepas dapat menjerat kijang. Ketika kijang meronta-ronta dia dan kawan-kawannya merebahkan binatang itu ke tanah. Daboh menekan lututnya ke pangkal telinga kijang itu bagi membolehkan Lajis menyembelih. Balik dari hutan itu semua mereka yang pergi seramai 8 orang jatuh demam. Lajis demam kena beguk hingga kedua-dua belah lehernya bengkak. Mat Jol yang memegangkan kaki pula kena bisul pada betis samapai sebulan lebih menghidap bengkak betis. Rasip meracau-racau takutkan orang besar mengganggu setiap kali terlena. Liham pula sakit mata sebulan biji matanya merah tidak boleh melihat. Sanip pula terberak-berak darah menghidap berbulan-bulan. Hendak dikatakan buasir bukannya penyakit buasir, tetapi duburnya terasa seperti luka baru sembuh.

Keenam-enam mereka terkena badi kata Dukun Sood. Lajis, Mat Jol, Rasip, Liham dan Sarip jeran sejeran-jerannya selepas dikatakan badi kijang itu. Baik saja dari sakit mereka tidak mahu lagi berburu binatang hutan. Lajis yang menyembelih kijang terasa lehernya pedih bagaikan dihiris dengan pisau semasa menghidap beguk itu. Kalau beguk biasa dua tiga hari akan sembuh. Atau ianya boleh menjangkit pada orang lain. Sebaliknya beguk yang dihidap oleh Lajis sampai lebih sebulan. Terpaksa Dukun Sood berkebas dengan kain hitam dan mayang pinang. Sementara Mat Jol yang memegangkan kaki, betisnya pula hinggap bisul. Betis itu membengkak sampai sebesar batang pinang. Dukun Sood juga mengubatnya dengan merendang bertih. Hampir sebulan dia mengidap barulah bisul itu meletus hingga keluar nanah bercampur darah pekat.

Rasip cuma duduk saja diatas badan kijang yang sudah rebah ke tanah. Dia tidak melakukan apa-apa. Tetapi apabila balik ke rumah dia kena demam panas seluruh badan. Setiap malam dia merepek meracau-racau takutkan orang besar datang mencekik lehernya. Dukun Sood berkebas dengan kain hitam juga di samping air tujuh geluk dari tujuh kuala sungai dibubuh bunga tujuh warna. Sampai kurus badan Rasip menderita sakit barulah dia pulih semula.

Sementara Liham pula kerana mahu cepat dia menerpa hingga pahanya menghimpit bahagian mata kijang. Mungkin itulah sebabnya dia mengidap sakit mata sebulan lebih. Matanya merah tidak boleh celik kalau berdepan dengan cahaya. Apabila bangun pagi kedua pelupuk matanya seperti kena gam melekat tidak boleh dibuka. Terpaksa pula dibasuh dengan air embun. Kadangkala mata itu pedih seperti dibubuh pasir.

Sanip yang melompat ke atas perut kijang itu berdiri dan menginjak-nginjak supaya binatang itu tidak dapat berkuat terkena pula sakit terberak-berak darah. Semuanya berubat kepada Dukun Sood. Mengikut cerita Dukun Sood memang mereka terkena badi kijang.

Begitu jugalah Daboh yang menghimpit pangkal telinga kijang itu dengan kepala lututnya, menyebabkan telinganya berdarah. Dia merasa menggelegak macam dimasuki lipas. Bila disumbat dengan kapas didapati kapas itu berdarah. "Binatang hutan ada gembala, kalau tak tahu permainan gembalanya nanti kita yang musnah" Dukun Sood mengingatkan mereka supaya jangan lagi memburu binatang hutan. "Yang kuat badinya burung puyuh..." jelas Dukun Sood menasihati anak-anak muda yang ghairah memburu itu. "Yang kedua ayam denak, yang ketiga rusa dan keempat kijang. Nasib baiklah awak semua terkena badi kijang, masih boleh ditolong" beritahunya macam memberi amaran.

Lajis, Mat Jol, Rasip, Liham dan Sanip memang tidak berani lagi sebut perkara memburu di hutan. Tetapi Daboh tetap berdegil. Dia tidak mengalah walaupun dilarang oleh Dukun Sood. Kalau kawan-kawannya tidak mahu ke hutan dia pergi berseorangan saja. Dia akan memasang jerat di tempat biasa dipasangnya. Tidak lama selepas itulah dia selalu duduk termenung tidak ketahuan. Akhirnya berubah menjadi seperti sekarang ini. Dia merayau-rayau ke merata kampung dengan membawa sebatang kayu. Di mana ada pokok dia berhenti lantas bersandar melepaskan penat. Kadangkala dia bercakap seorang diri tidak tentu biji butir.

Bila terserempak Sarip Kubung dia akan berlari terhencot-hencot ketakutan. Abangnya akan menyergah dia menyuruh balik ke rumah. Tetapi Daboh tidak balik ke rumah. Dia lari ke mana saja ikut suka hatinya. Mahu tidak mahu terpaksalah Sarip Kubung berkasar mengheretnya balik ke rumah. Tetapi selepas dikurung dalam pasung kayu, tidak payah lagi Sarip Kubung mengawasi adiknya merayau-rayau ke sekeliling kampung. Dia hanya datang menjengah waktu hendak makan tengahari atau malam. Mana tahu kalau Daboh mengencing dan memberakkan makanannya, kemudian dibancuh-bancuh sebelum dimakan.

Emaknya memang sudah tidak berupaya lagi mahu menjaganya. Orang tua itu mudah menangis melihat perangai anaknya yang berubah sama sekali dari perangai biasanya. Dari seorang anak muda yang tampan, dia sudah menjadi hodoh kerana tidak terurus lagi pakaiannya. Beberapa lama menderita Daboh pun meninggal dunia secara mengejut. Ketika ditemui oleh emaknya, Daboh tertonggeng dengan tubuhnya tersandar pada palang kayu pasung. Mulutnya berdarah dan matanya terbeliak. Kematian Daboh itu seolah-olah terlepaslah beban Mak Leha menjaga anaknya yang sakit hilang akal itu. Dukun Sood hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat keadaan Daboh, kerana dia tidak berupaya untuk menyelamatkan anak muda itu.

"Inilah sakit badi binatang hutan" keluh Dukun Sood sewaktu jenazah Daboh dibawa ke kubur. "Dia memang degil" Sarip Kubung menjelaskan. "Sudah dilarang jangan pergi mencari barang hutan, dia pergi juga. Tengok Lajis, Mat Jol, Liham, Sanip, Rasip semua dengar nasihat Dukun Sood, hah selamat!" ujarnya seolah-olah menyesali sikap adiknya itu.

"Badi apakah agaknya Tok Dukun?" Lajis mahu tahu tentang peristiwa malang yang menimpa kawan baiknya itu. "Entahlah" dia menggeleng kepala. "Tak taulah pula binatang apa, tetapi biasanya yang keras macam ni ayam denak atau rusa" kata Dukun Sood mengagak-ngagak. "Boleh jadi ayam denak" Mat Jol menyampuk. "Mana kau tahu?" soal Lajis macam terkejut mendengar cerita baru dari Mat jol itu. "Ada dia cakap pada aku" jelas Mat Jol mengingatkan balik cerita Daboh kepadanya sebelum kawannya itu jatuh sakit. Semasa memasang jerat di satu kawasan lapang, dia telah dapat menjerat seekor bapak denak. Ketika dia mahu cepat menyerbu ke tempat jerat itu terpasang takut ayam denak itu terlepas, seekor ular hitam melintas di depannya menyebabkan dia tersentak. Daboh terkejut melihat ular melintas cepat di depannya, kemudian hilang ke dalam belukar.

Dia terpaksa membiarkan ular tersebut melintas, barulah dia mengejar jeratnya yang sudah mengena. Dalam keadaan kelam-kabut itu dia tidak nampak ke manakah perginya ayam denak terkena jerat itu. Tetapi di depannya berdiri seorang lelaki tua berpakaian serba hitam. Lelaki tua itu mengelek ayam denak terkena jerat tadi. "Mengapa jerat ayam Aki?" tanya orang tua itu ramah. "Tidak, saya jerat ayam denak" sahut Daboh keheranan kerana ayam yang dikelek oleh lelaki itu bukannya ayam denak, tetapi ayam kampung biasa. "Ayam Aki selalu mengekas di sini, mana ada ayam denak dekat sini" jelas orang tua itu lagi. Daboh heran juga kerana selama ini dia tidak pernah melihat lelaki berkenaan. Tetapi dari raut wajahnya orang tua itu sangat ramah dan baik hati. Dia tidak memarahi Daboh walaupun ayamnya terkena jerat Daboh.

"Tak ada ayam denak di sini. Semuanya ayam Aki yang mengekas di sini" ujarnya lagi sambil menunjukkan ke arah pondoknya di bawah bukit. Bertambah heran Daboh kerana selama ini tidak pernah dia melihat ada pondok di situ. Kalau mahu dikatakan dia tersesat, tidak ada tanda-tanda dia tersesat. Kawasan tersebut sudah biasa sangat kepadanya. Malah tempat dia menahan jerat denak itu sudah kerapkali dipasangnya jerat. "Jangan pasang jerat lagi di sini ye, nanti terkena lagi ayam Aki" orang tua itu mengingatkan dia. "Aki nak jual ayam-ayam tu, kalau tak jual ayam siapa nak belikan beras Aki" ujarnya menasihatkan Daboh. Daboh mengangguk. Dia merasa tersalah tempat pada kali itu. Boleh jadi juga dia tersesat dari tempat biasa dia memasang jerat. Kadangkala kawasan pinggir hutan itu sama saja. Apabila melepasi satu bukit maka akan sampai ke kampung lain pula. Manalah dia kenal dengan orang-orang di kampung lain, terutama dengan orang tua-tuanya.

"Maaflah Aki..." sahut Daboh kesal. "Saya tak sangka pula tempat ni dekat dengan rumah Aki. Lain kali saya tak datang lagilah" dia memberi jaminan tidak akan memasang jerat di situ lagi. "Eloklah tu, ayam Aki memang mengekas dekat sini selalunya, nanti terkena pula ayam nenek lagi" ujarnya tersenyum sambil mengelek ayamnya dibawa balik. Besoknya apabila Daboh datang lagi ke situ didapatinya tempat pondok orang tua yang ditunjukkan kepadanya semalam hanya belukar teberau saja. Bulu ayam yang reras kerana menggelupur semasa terkena jeratnya juga memang bulu ayam denak. Inilah puncanya Daboh meradang seolah-olah dipermainkan oleh orang tua itu. Dia telah mengambil ketul-ketul batu membalingkan ke arah belukar teberau yang dilihatnya ada pondok. Betul-betul meradang benar hati Daboh kerana jeratnya yang sudah mengena, tetapi ditipu oleh orang tua berkenaan. Daboh masih berpegang kuat bahawa tidak ada badi pada ayam denak, sebaliknya dia telah ditipu oleh orang tua yang dilihatnya semalam.

Kepada Mat Jol dia menceritakan apa yang dilihatnya. Sejak itulah dia selalu termenung, kerana teringatkan peristiwa bertemu dengan orang tersebut. Dia berdendam kepada orang tua yang berpura-pura ramah dan baik hati itu, sebaliknya telah menipu dia. "Mengapa kau tak beritahu Dukun Sood semasa aruah ni sakit?" soal Lajis kesal dengan sikap Mat Jol merahsiakan kejadian tersebut. "Dia tak beri aku cakap dengan orang lain" jelas Mat Jol mempertahankan dirinya. "Kau tak boleh dengar cakap dia" gerutu Lajis. "Ah, sudahlah. Dah tak ada apa-apa lagi nak ungkit-ungkit" Sarip Kubung memarahi mereka berdua. "Sekarang ni dia dah tak ada, tak guna lagi sebut fasal-fasal yang sudah" tegasnya. Daboh selamat dikebumikan. Mak Leha yang paling sedih dengan kematian  Daboh, kerana itulah satu-satunya anak bujangnya yang tinggal bersama dia. Ketiadaan Daboh bererti dia tinggal kesepian. Memang dia boleh tinggal di rumah Sarip Kubung, tetapi apalah gunanya memberatkan bebanan anaknya yang sudah berkeluarga itu.

Malam selepas Daboh dikebumikan terdengar sayup-sayup dari kuburnya  seperti merintih-rintih semasa dikurung dalam pasung kayu. Mak Leha memberitahu perkara itu kepada Sarip Kubung. Disebabkan rumah Mak Leha memang berhampiran dengan tanah perkuburan, maka suara itu jelas kedengaran kepadanya. Pada malam kedua, Sarip Kubung bersama dengan Lajis dan Mat Jol datang melihat ke kubur itu setelah Dukun Sood menyuruhnya membacakan Yassin di atas kubur. Mereka bertiga bergilir-gilir membacakan Surah Yassin sejak pukul enam petang lagi sehingga sampai maghrib. Waktu maghrib masuk saja terdengar lagi rintihan dari kuburmya meminta pertolongan. Setelah dijiruskan air Yassin rintihan itu mengendur. Tetapi rintihan itu berulang lagi kalau diberhentikan membaca Yassin dan dijiruskan dengan air Yassin di atas kubur. Hingga hampir masuk waktu Isya' rintihan itu tidak kedengaran lagi. Mereka bertiga pun balik ke rumah, kerana Dukun Sood menyuruh mereka mengulangi sehingga 7 malam. Disebabkan tidak ada lagi rintihan dari kubur Daboh, mereka mengambil keputusan untuk balik. Malam esoknya akan diulangi lagi membaca Yassin.

Sampai saja di rumah Sarip Kubung mendapati isterinya Jibah tidak sedarkan diri pula. Kelam-kabut dia kerana tidak satu, satu bala datang menimpa. Baru saja kematian adik, isteri pula sakit. Malam esoknya disebabkan Jibah sakit, terpaksalah Sarip Kubung tidak pergi membacakan Yassin seperti yang disuruh oleh Dukun Sood. "Macam kena kelintasan Jibah ni" keluh Dukun Sood melihat buih hijau keluar dari mulut perempuan itu. "Hus, bala apa pula ni" Sarip Kubung menggertap bibir mengenangkan nasib malang yang menimpa dirinya itu. "Sabarlah Sarip" kata Dukun Sood. Mak Leha juga menasihati Sarip Kubung supaya bersabar. Sanak saudara Jibah juga menyuruh bersabar. Tetapi Sarip Kubung tidak dapat menahan sabar. Manalah hatinya tidak remuk dengan kejadian di kubur adiknya yang merintih-rintih meminta tolong darinya, Jibah pula tiba-tiba saja kelu lidah dengan muntah hijau meleleh dari mulut. "Jibah, kena badi juga ke?" Sarip bertempik melepaskan geramnya. Memang selalunya Daboh akan mengirimkan dia daging kijang atau rusa sekiranya kena perangkap. Apakah orang yang makan daging binatang hutan juga akan dihinggap badinya? "Sarip,sabarlah. Bawa astaghfar..." pujuk ayah mertuanya yang turut bersedih kerana anaknya sendiri sakit mengejut.

Orang-orang mula menduga mungkin kerana Sarip Kubung cuba menolong adiknya, maka badi tersebut menyerang Jibah pula. Sebab itulah sebaik saja Sarip Kubung membaca Yassin di atas kubur Daboh, tiba-tiba saja Jibah tidak sedar diri. Seminggu Jibah terlantar tidak sedarkan diri dengan air liur meleleh keluar hijau seperti lumut, akhirnya dia mati. Selepas Jibah mati tidak lagi didengar rintihan Daboh setiap kali tiba waktu maghrib. Lajis, Mat Jol dan Rasip juga tidaklah lagi perlu membaca Yassin di atas kuburnya. Dua tahun kemudian Dukun Sood pun berpindah ke Segamat. Sampai sekarang sudah lebih 20 tahun dia tinggal di Segamat. Anak saudaranya Mahmud yang mengajak saya berjumpa dengan Dukun Sood ini. Dia berpindah ke Segamat pun kerana bekerja dengan pemborong pejabat ukur. Apabila taukehnya membuat kerja-kerja ukur di Segamat, dia mengambil keputusan untuk menetap di sana.

Sesiapa pun tidak tahu mengenai dirinya pernah menjadi dukun sebelum  itu di Pahang. Anak saudaranya ini memang berasal dari Pahang, tetapi selalu juga dia menjengah Dukun Sood di Segamat. Dari Mahmud inilah saya dengar cerita mengenai pengalaman Dukun Sood mengubat Daboh yang dikatakan terkena badi itu. Dukun Sood termenung bila saya bangkitkan semula cerita Daboh ini kepadanya. Kemudian barulah dia mahu bercakap. Perlahan saja dia memberitahu saya, "Sebenarnya badi tu tak seberapa, ada rahsia lain lagi". "Betul ke kubur Daboh tu ada bunyi?" tanya saya. Dukun Sood mengangguk dengan wajah terharu. "Dia memanggil-manggil abangnya meminta tolong. Katanya panas tak tahan" ujarnya. "Kalau dia hilang akal, macam mana boleh minta tolong?" saya mahu tahu lebih lanjut. "Itu yang susah nak jawab" kata Dukun Sood lagi. "Perkara dah berlaku dua puluh tahun, susah nak cakap" jelasnya macam tidak mahu menerangkan lebih lanjut kepada saya. Tetapi setelah Mahmud memberitahu mengenai diri saya, barulah dia mahu menerangkan.

"Ustaz tentu lebih tahu dari saya, Huwa auwalu walakhiru walzahiru walbatinu, wahuwal aliyul azim" dia menatap muka saya. Saya terangguk-angguk mendengarnya. Mungkin Dukun Sood tidak mahu lagi mengenangkan peristiwa tersebut. Tetapi disebabkan saya bertanya, mahu tidak mahu terpaksalah dia menerangkan. Lagipun Dukun Sood tidak mahu orang-orang di situ mengetahui dirinya pernah menjadi dukun. "Saya tak berdukun lagi Ustaz, saya ni dah tua" dia merendahkan suaranya. Disebabkan saya mahu sangat mengetahui rahsia kematian Daboh, Dukun Sood memberitahunya dengan rasa terharu. "Sebenarnya, Sarip Kubung ternampak orang lelaki melompat keluar dari tingkap biliknya semasa baru balik dari surau" beritahu Dukun Sood. Peristiwa ini tidak sahih, kerana Sarip Kubung hanya terdengar bunyi orang terjun ke tanah kemudian lari. Dia bertanyakan kepada Jibah, tetapi Jibah sanggup menjunjung Quran mengatakan tidak ada siapa pun yang naik ke rumah.

Disebabkan Sarip Kubung orang yang kuat belajar agama, tidak beranilah dia menuduh Jibah berlaku curang terhadap dirinya. Bagaimanapun dia terpaksa memberitahu hal itu pada Dukun Sood. Memang Dukun Sood tidak percaya  Jibah boleh melakukan perbuatan demikian. Disebabkan Dukun Sood berkawan baik dengan ayah Sarip Kubung, dia menyuruh Sarip Kubung membuat sembahyang Tahajud selama 44 malam untuk membuktikan isterinya berlaku curang atau tidak. Sarip Kubung melakukan seperti apa yang disuruh oleh Dukun Sood. Selepas 44 malam dia melakukan sembahyang Tahajud, didapati Jibah tidak ada apa-apa perubahan. Yakinlah dia dengan pendapat Dukun Sood bahawa Jibah tidak berdosa. Hanya perasaan cemburunya saja yang menyebabkan dia ternampak kelibat orang terjun dari tingkap. Hatinya menerima kesucian isterinya dengan tenang dan bersyukur pada Allah. Jibah pula merasa senang hati kerana suaminya tidak lagi mengesyaki dia berlaku curang.

Tidak lama kemudian Sarip Kubung sekali lagi dirundung malang bila adiknya Daboh pula kena badi binatang hutan. Daboh jadi hilang akal selepas dikatakan berjumpa orang tua ketika menjerat ayam denak. Puas pula Sarip Kubung berusaha mengubat adiknya itu, tetapi akhirnya mati dalam keadaan mengerikan. "Itulah kesan sembahyang Tahajud dan bacaan Yassin" keluh Dukun Sood mengingat-ingatkan kembali peristiwa 20 tahun lampau. "Memang benar Daboh yang terjun dari tingkap rumah abangnya, sementara isterinya berlaku curang dengan adiknya sendiri. Tapi saya rahsiakan ini dari Sarip Kubung..." ujar Dukun Sood dengan rasa terharu. Sebab itulah dia berdalih mengatakan Daboh terkena badi binatang hutan semata-mata mahu menyembunyikan perkara sebenarnya. Daboh sendiri mengaku di depan Dukun Sood dengan penuh kesal, tetapi dia sudah tidak dapat menahan Sarip Kubung meneruskan sembahyang Tahajud dan membaca Yassin yang sudah dibuatnya hampir genap 44 malam itu.

TAMAT