SAHABAT

Isnin, 18 April 2011

DURI IKAN SEMBILANG DITUSUK KE KEPALA


KEMERIAHAN majlis perkahwinan yang berlangsung di rumah Mat Sunud bertukar menjadi muram. Sebelum berlangsung majlis berinai pada sebelah malamnya, telah berlaku kekecohan di sebelah petangnya ketika rombongan pengantin lelaki datang dari Tangkak di Johor. Keputusan kedua pihak keluarga pada peringkat awalnya sudah dimungkiri. Semasa perundingan awal diadakan bagi melangsungkan perkahwinan Masimah anak gadis Mat Sunud di Tanjung Karang, memang sudah dipersetujui majlis persandingan hanya diadakan di sebelah pihak perempuan saja.

Persetujuan ini dicapai memandangkan kampung mereka berjauhan. Kalau mahu diadakan juga terpaksalah diadakan selang seminggu pula. Ketika ini sanak saudara juga ramai yang membuat kenduri nikah kahwin. Pihak keluarga lelaki memanglah bersetuju majlis persandingan dilangsungkan di sebelah pihak perempuan saja. Entah macam mana kekecohan mula berlaku sebaik saja pengantin lelakinya Jabal ditempatkan di rumah jiran pengantin perempuan sebagai tempat persinggahan, tiba-tiba saja pihak perempuan mahu juga diadakan majlis bertandang di rumah keluarga pengantin lelaki di Tangkak. Pada mulanya pihak keluarga pengantin lelaki berkeras juga, kerana tidak sanggup mengadakan dua kali kenduri. Semasa mereka menghantar pengantin lelaki memang sudah diadakan kenduri membaca doa selamat. Tentulah menjadi serba salah untuk memanggil jiran-jiran  semula sekiranya mahu diadakan juga majlis bertandang itu.

"Minta maaflah bisan..." Mak Icum memeluk leher Hajah Semiah ketika menyampaikan keputusan sanak saudaranya. "Dah kemudian pula timbulnya desakan dari bapa-bapa saudara Masimah" katanya menangis teresak-esak menahan malu apabila pihak sanak saudaranya bersikap demikian. Sekiranya dia enggan menyampaikan keputusan tersebut, mereka semua akan memulaukan majlis persandingan berkenaan. Alasan yang mereka berikan ialah Masimah bukan janda. Sebab itulah mereka memaksa mesti diadakan juga majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki. Lagi pun semasa rundingan awal dibuat, hanya Mat Sunud saja yang memutuskan dengan tidak memanggil sanak saudara  yang lain. Walaupun pada mulanya Hajah Semiah emak Jabal yang ikut sama dalam rombongan menghantar anaknya enggan menurut kemahuan pihak perempuan disebabkan mungkir janji, tetapi dia kasihan juga melihat keadaan Mak Icum yang sudah merayu-rayu mengakui akan kesilapan pihaknya itu. Terpaksalah Hajah Semiah menerima dengan tabah hati keputusan yang tidak diduganya. Semasa rombongan pengantin lelaki balik semula ke Tangkak petang itu juga, Jabal ditinggalkan bersama emak saudaranya Ngah Rupai, dan sepupunya Berahim yang menjadi pengapit pengantin.

Semasa majlis berinai hendak diadakan, Masimah yang sudah duduk di pelamin tiba-tiba tergolek ke bawah. Dia menggelupur bagaikan ikan tidak mendapat air di atas riba Mak Andam. Mereka yang berkerumun di atas rumah mahu melihat pengantin perempuan di atas pelamin menjadi gempar dengan kejadian tersebut. Cepat-cepat pula Mat Sunud berkejar ke rumah jirannya Bahar tempat persinggahan pengantin lelaki, memberitahu supaya ditangguhkan dulu kedatangan pengantin lelaki. Sebaliknya apabila Mat Sunud sampai di rumah Bahar, beberapa orang yang menemani pengantin lelaki juga menjadi cemas kerana Jabal terlentang di hujung serambi mengerang-ngerang sakit kepala. Dia juga masih belum lagi memakai pakaian pengantin untuk majlis berinai. Sementara di khemah di hujung halaman, masing-masing belum mengetahui peristiwa yang menimpa kedua-dua pengantin. Mereka asyik mendengar permainan pancaragam yang mendendangkan lagu-lagu merdu.

"Macam mana kita nak buat ni?" tanya Ngah Rupai berpaling pada Mat Sunud. Dia memicit-micit kepala Jabal bagi mententeramkan anak muda berkenaan. "Nantilah, saya suruh budak-budak panggilkan dukun" sahut Mat Sunud lantas menghilangkan diri di celah-celah orang ramai yang berkerumun di serambi rumah Bahar. Tidak lama kemudian dia muncul semula dengan termengah-mengah mengesat peluh pada lehernya. "Tengoklah kejap lagi, saya dah suruh budak panggilkan dukun" ujarnya mengeluh lemah. "Masimah, apa khabarnya?" soal Bahar pula setelah diberitahu mengenai Masimah juga tidak sedarkan diri. "Entahlah..., macam tu juga nampaknya" Mat Sunud menggeleng-geleng kepala tidak keruan. "Adakah Pak Nud syak sesiapa yang buat...?" Bahar merasakan bertanggungjawab penuh ke atas pengantin lelaki, disebabkan rumahnya dijadikan tempat persinggahan. Apa yang berlaku ke atas Jabal dia tidak boleh lepas tangan begitu saja. Mat Sunud menggeleng kepala. Sukar juga dia mahu menuduh sekiranya tidak ada bukti yang sahih. Lagi pun menuduh dengan tidak ada bukti mungkin menyebabkan orang marah, sehingga menambahkan lawan di dalam kampung sendiri. Perkahwinan anaknya Masimah dengan Jabal pun bukanlah atas pilihannya, tetapi mereka berdua berjanji setelah bertemu di Kuala Lumpur. Mereka sama-sama bekerja di Kuala Lumpur. Di mana mereka mula bertemu, kemudiannya memadu janji hingga memutuskan untuk ke jinjang pelamin, Mat Sunud sendiri tidak tahu. Setelah anaknya Masimah memberitahu Jabal akan masuk meminang, dia hanya menerima dengan dada yang tebuka.

Dalam rundingan dengan keluarga Jabal, memang Mat Sunud sendiri bersetuju majlis bersanding dibuat di Tanjung Karang saja kerana kalau mahu bertandang pula ke Tangkak banyak masalahnya. Setelah diputuskan perundingan, tiba-tiba saja abang isterinya yang tinggal di Felda Jengka tidak bersetuju majlis bersanding itu habis di Tanjung Karang saja. Semua sanak saudara Mak Icum menyalahkan Mat Sunud kerana membuat keputusan sendiri, apabila menetapkan hari perkahwinan Masimah dan Jabal. "Ini kerja orang dengki ni, dia sengaja nak beri malu Pak Nud agaknya" gerutu Bahar menggertap bibir. Geram benar dia dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab semasa pengantin hendak naik ke pelamin untuk upacara berinai. "Entahlah, Bahar...mati akal aku!" keluh Mat Sunud mengesat pelupuk matanya. Jabal mengerang-ngerang menahan kesakitan yang menyucuk-nyucuk tengkorak kepalanya. Dukun yang dipanggil tidak juga datang lagi setelah setengah jam mereka menunggu. Ketika ini orang memanggil Mat Sunud  dari rumahnya kerana keadaan Masimah masih membimbangkan. Bergegas-gegas pula Mat Sunud balik ke rumah dalam keadaan cemas mencengkam hatinya.

"Apa ikhtiar kita makcik?" tanya Bahar berpaling pada Ngah Rupai. "Tak tau laa makcik, terpulanglah pada orang sini" sahut Ngah Rupai sambil jarinya memicit-micit kepala Jabal. Peluh membasahi belakang Jabal hingga bajunya lembab. Terpaksalah pula Ngah Rupai membukakan baju tersebut  supaya suhu panas badan Jabal dapat dikurangkan. Dalam masa yang sama Masimah juga tidak beransur sembuh. Dia menggelepar dengan nafasnya sesak tercungap-cungap sama seperti ikan terdampar di pasir. Sehingga jam 11.00 malam barulah Mat Sunud memberitahu orang pancaragam supaya menghentikan permainannya, lantas memberitahu mengenai kejadian yang menimpa kedua mempelai. Bertambah lagi murungnya suasana setelah pancaragam memberhentikan permainannya. Hanya tinggal keluh kesah sanak saudara Mak Icum dan Mat Sunud melihatkan dua mempelai terlantar menahan kesakitan masing-masing.

"Wak Golan dah ke Ulu Selangor, Pak Nud..." beritahu Jali Tenjot yang disuruh memanggil dukun. Sebaik saja disuruh memanggil dukun, Jali Tenjot terus menunggang motorsikal Hondanya ke rumah Wak Golan. Tetapi dia diberitahu Wak Golan sudah ke rumah anaknya di Gedangsa, Hulu Selangor. Bertambah hampa Mat Sunud setelah mendengar Wak Golan yang diharapkannya boleh memulihkan kedua mempelai tidak ditemui. Dia sendiri tidak tahu apa harus dilakukan. Sepanjang ingatannya hanyalah Wak Golan yang menjadi dukun di sekitar kampungnya. Kepada orang tua itulah mereka menggantung harapan sekiranya diancam gangguan demikian. Tetapi bila Wak Golan tidak ada mereka seolah-olah putus asa mencari ikhtiar yang lain. "Kalau sakit macam ni, carilah tok imam-tok imam ke, minta doakan...." ujar Ngah Rupai apabila diberitahu oleh Mat Sunud mengenai Wak Golan yang sudah pergi ke rumah anaknya di Gedangsa. "Hah, elok juga tu" sahut Bahar menyetujui cadangan Ngah Rupai. "Elok kita panggilkan Haji Madan, minta doa-doakan" katanya menggesa supaya segera diberitahu kepada Haji Madan.

Jali Tenjot terus menunggang motorsikal Hondanya dengan tidak mendapatkan persetujuan dari Mat Sunud untuk memanggil Haji Madan di seberang jalan. Dia juga tahu Haji Madan guru agama di situ yang selalu ditemui oleh orang-orang kampung meminta jasa baiknya mendoakan anak-anak mereka supaya lulus dalam peperiksaan. Semasa Jali tenjot sampai di halaman rumah Haji Madan, isteri Haji Madan baru saja menghidangkan kopi kepada kami di serambi. Kebetulan saya singgah di rumah Haji Madan bersama seorang kawan lagi dalam perjalanan dari Teluk Intan. Setelah Jali Tenjot naik ke rumah, dia diperkenalkan oleh Haji Madan kepada saya dan Bumin, sambil mengajaknya minum kopi terlebih dulu. "Apa halnya ni?" tanya Haji Madan lantas menghulurkan cawan kopi o ke hadapan Jali Tenjot. Tergagap-gagap Jali Tenjot menceritakan kejadian yang menimpa di majlis berinai anak Mat Sunud.Terbayang kegelisahan di wajahnya, disebabkan dia adalah anak saudara Mak Icum. Kejadian tersebut bukan saja memalukan keluarga dia, malah sebuah kampung menanggung malu kepada keluarga pengantin lelaki. Tentulah cerita mengenai kejadian tersebut tidak akan lenyap dalam masa sehari dua, kemungkinan akan menjadi buah mulut kepada seisi kampung.

Majlis perkahwinan adalah bertujuan untuk sama-sama memeriahkan kedua mempelai, serta menemukan mereka dengan sanak saudara. Tetapi dengan kejadian yang tiba-tiba saja diserang sakit, bukanlah merupakan penyakit turun-temurun yang datang menyerang. Sudah tentulah ada orang yang iri hati melakukan kerja-kerja sihir bagi merosakkan nama baik keluarga Mat Sunud. "Emm, kita minum kopi dulu" ujar Haji Madan tersengih-sengih. "Kopi ni, Mak Aji kau sendiri yang tumbuk" katanya sambil mengerling isterinya yang tersenyum tersipu-sipu. Disebabkan Haji Madan sudah dijemput orang lantas saya mengajak Bumin balik, kerana saya menumpang keretanya. Tetapi kalau saya melalui jalan tersebut ke Teluk Intan, memang saya singgah di rumahnya. Kadangkala kalau melebihi jam 11.00 malam pun saya tetap singgah, kerana dia masih belum tidur lagi. Malah dia akan memarahi saya kalau tidak singgah sekiranya dia tahu saya ke Teluk Intan atau ke Kampung Gajah melalui jalan tersebut.

"Biarlah saya minta diri dulu, tuan..." saya menghulur tangan untuk berjabat salam. "Hiss, nanti dulu Ustaz" katanya menepis tangan saya. "Ini Fardhu Kifayah, Jali ni datang betul-betul berharap, marilah sama" Haji Madan tidak membenarkan saya balik. "Tak apalah tuan, Bumin ni ada hal besok" saya cuba mengelak. "Halnya besok, bukan malam ni!" Haji Madan berkeras tidak mahu melepaskan saya pergi. "Macam mana Bumin?" sengaja saya mencuit Bumin. Belum pun sempat Bumin menyahut cepat-cepat Haji Madan memotong, "Bumin belum nak balik lagi tu, Ustaz ni aje yang pandai-pandai" dia bangun berdiri sambil meminta isterinya mengambilkan lampu picit. Dia menarik tangan saya mengikutinya ke rumah pengantin. Bumin hanya tersengih-sengih melihat telatah Haji Madan yang langsung tidak memberi peluang kami mengelakkan diri mengikutinya. Malam sudah mulai sepi, tetapi kawasan sawah luas terbentang itu nampak berbalam-balam cahaya api dari setiap rumah. Di jalan besar melintasi sawah itu juga sekali-sekala ada juga kereta meluncur.

Semasa kami sampai di rumah Mat Sunud pengantin perempuan masih berpakaian pengantin lagi, tetapi sanggulnya sudah terurai. Dia menggelepar-gelepar juga tercungap-cungap sukar bernafas seperti ikan terdampar di pasir. "Yang lelakinya di mana?" soal Haji Madan sebaik saja duduk menyandarkan belakang ke dinding. "Di rumah Bahar" beritahu Mat Sunud. Kemudian barulah Haji Madan  memperkenalkan saya dan Bumin kepada Mat Sunud dan keluarganya. "Macam mana Ustaz?" Haji Madan menepuk bahu saya. "Terpulanglah pada tuan..." ujar saya menghela nafas. "Kalau macam tu, bawa pengantin lelaki tu ke mari" Haji Madan mencadangkan. "Di sini, boleh kita sama-sama ikhtiarkan" katanya semacam memberi arahan kepada Mat Sunud. Dengan tidak membantah Mat Sunud mengajak Jali Tenjot membawa pengantin lelaki ke rumahnya. Suasana muram di rumah pengantin itu jelas terbayang di setiap wajah yang lesu berceratuk memenuhi ruang rumah. Mereka masih kebingungan dengan peristiwa tersebut, walaupun sudah diusahakan dengan berbagai jampi serapah oleh beberapa orang yang berpengalaman juga mengubati penyakit seperti itu.

Disebabkan Wak Golan tidak ada, dua tiga orang yang pernah berguru dengan Wak Golan telah mencuba kemampuan masing-masing. Namun Masimah dan Jabal tidak juga dapat dipulihkan. Ketika Jabal dipapah datang ke rumah Mat Sunud, mukanya pucat. Kuku jari-jarinya lebam. Dia mengerang-ngerang juga menahan sakit kepala. Haji Madan menyuruh dibaringkan Jabal  berhampiran dengan Masimah. Kemudian dia duduk di tengah-tengah pada bahagian hulu kepala. Dia menyuruh saya duduk di bahagian lunjur kaki kedua pengantin itu. Sebaik saja saya duduk tiba-tiba Masimah bingkas bangun lantas meludah saya berulang kali, menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut. Mat Sunud dan Jali Tenjot segera menerpa memegangkan Masimah yang tiba-tiba saja menjadi berang melihat saya duduk di lunjur kakinya. Sekali-sekala dia mengerling ke arah Jabal yang terbaring mengerang-ngerang menahan sakit kepalanya yang mendenyut-denyut.

"Kenapa kau marahkan dia....!" jerkah haji Madan menepuk dua tangannya ke paha. "Orang ni jahat" sahut Masimah ketawa terkekeh-kekeh, menudingkan jarinya ke arah saya. "Ha, ha...sekarang kau dah tunjukkan diri kau..." ejek Haji Madan meletakkan tapak tangannya ke kepala Masimah. Sekaligus gadis itu meronta-ronta sambil memekik kesakitan. "His, belum apa-apa dah memekik, tadi kau tunjukkan kuat sangat...!" ujar Haji Madan tersenyum sinis. Masimah meronta-ronta tetapi tidak dapat melepaskan diri dari pegangan Jali Tenjot dan Mat Sunud. Ketika ini terdengar bunyi dinding berdegam seperti dirempuh kuat tetapi tidak ada apa-apa yang kelihatan merempuh dinding. "Halau dia tu, halau dia...!" pekik Masimah menuding-nuding ke arah saya. "Dia tu orang jahat, dialah yang suruh aku ke mari" katanya ketawa mengejek. "Setan memang nak laga-lagakan orang" sahut Haji Madan tidak melepaskan  tangannya di kepala Masimah. "Kau fikir kami percaya dengan tipu muslihat kau? Ustaz tu baru tak sampai sejam datang" ujarnya merentap tangannya dari kepala Masimah. Mat Sunud menyangka saya tersinggung apabila diludah oleh Masimah beberapa kali menyebabkan dia berkali-kali meminta maaf. Tetapi saya tidak hiraukan sangat kekeliruan Mat Sunud itu, kerana saya menyedari sewaktu sampai ke halaman rumah saya melihat seolah-olah terbayang satu cahaya seperti benang putih di bumbung rumah sampai mencecah ke awan. Oleh itu sebelum naik ke rumah saya sudah membacakan Ayat Kursi 33 kali sehingga saya duduk berhampiran dengan Masimah. Kemudian saya berzikir halus di dalam hati, menyebabkan benang putih itu terputus hingga kedengaran oleh orang ramai bunyi berdegam memukul ke dinding.

"Ustaz ni orang jahat...!" Masimah tersengguk-sengguk menangis seperti orang putus asa. "Engkau yang jahat, menyusahkan orang!" suara Mat Sunud keras mengherdik. "Kami bukan kacau kau, kenapa kau kacau kami?" dia sudah mula memahami apa sebenarnya sedang mengganggu anaknya ketika itu. Memandangkan keadaan Masimah bertambah garang, sedangkan Jabal mengerang-ngerang saja menahan kesakitan, saya pun meminta izin untuk memegang kepala Masimah. Dia memarahi saya sebaik saja tangan saya menyentuh kepalanya, tetapi saya membongkok merapatkan mulut saya ke telinga kanannya. Saya melaungkan azan perlahan 5 kali di telinga kanan, dan 5 kali di telinga kiri. Semasa saya melaungkan azan ini Masimah menjerit-jerit mengatakan petir dan kilat memusnahkan rumahnya. "Ah, rumah ni elok, tak roboh pun. Tak ada pun kilat, tak ada petir..." Mak Icum yang mendiamkan diri sejak tadi tiba-tiba saja bersuara lesu. "Cukup dulu..." kata saya kembali duduk di lunjur kaki Masimah. "Kalau kau berdegil, aku akan timpakan kau dengan gunung" ujar saya memberi amaran. Masimah mulai ketakutan merenung muka saya. Tubuhnya menjadi longlai tidak bermaya. "Nah, lawanlah sangat" sergah Haji Madan mengejek.

Ketika ini saya melihat Jabal tidak mengerang-ngerang lagi. Dia hanya keletihan terlentang melepaskan lelah. Saya bangun mengangkat kepala Jabal menghembuskan perlahan dengan membaca Surah Al-Ikhlas 11 kali diikuti dengan Surah Al-Falak dan Surah An-Nas sekali. Selepas itu barulah Jabal menggosok-gosok matanya lantas meminta air untuk diminum. Dia sendiri seperti orang kebingungan kerana tidak tahu apa yang telah berlaku kepada dirinya dan isterinya yang akan menjalani upacara berinai dan seterusnya bersanding. Mujurlah mereka berdua sempat diakad-nikahkan sebelum majlis berinai itu. Setelah diterangkan kepadanya bahawa Masimah masih tidak sedarkan diri, Jabal mengangguk lemah. Dia sendiri mengadu masih terasa sengal-sengal di kepalanya walaupun tidaklah sakit berdenyut-denyut lagi.

"Haji Madan, buat apa kau bawa Ustaz ni?" Masimah menggertap bibir tetapi tidak berani merenung muka saya. "Ah, aku tak mau layan kau. Aku beri tempoh lima minit. kalau kau tak pergi tinggalkan Masimah, Ustaz ni akan timpakan gunung, aku akan ambil barang mainan kau tu!" tegas Haji Madan memberi amaran. "Buatlah, apa kau nak buat" sahutnya tersengih-sengih memaling mukanya merenung ke bumbung atap. Saya ikut merenung ke atas memerhatikan bumbung yang direnung Masimah. Lantas saya membacakan innahu minal-Sulaiman wainnahu bismillahhir Rahmannir Rahim 10 kali, kemudian saya seolah-olah terlihat seorang perempuan tua berambut penuh uban termengah-mengah memerhatikan ikan sembilang di lantai menggelepar tidak mendapat air. Duri sembilang itu tertusuk kepada buah limau yang berbungkus kain putih diikat dengan benang, tetapi sudah terlepas dari tusukannya.

"Ustaz, kita mulakan...." kata Haji Madan bangun sambil meminta air sejuk segelas. Setelah diberikan air tersebut, Haji Madan menjulang gelas berisi air itu tinggi melampaui kepalanya, dan saya mendengar dia membacakan Ayat dari Surah Al-Jin Quluhiyya innahus tamaa nafarun minal-jinni...hingga beberapa ayat lagi. Kemudian saya menudingkan jari ke muka Masimah seolah-olah saya menuding ke muka perempuan tua yang mengadap ikan sembilang di lantai itu sambil membisikkan "Sejuk kau, sejuk kau...aku kirimkan air batu...", sekaligus pula saya melupakan Masimah terbaring di hadapan saya. Ketika ini semua orang melihat Masimah terketar-ketar menahan kesejukan, hungga bibir dan jari kecut seperti terkurung di dalam air batu. Dalam masa inilah orang ramai mendengar satu letupan kecil di gelas yang dipegang olah Haji Madan. Bila dia duduk semula sambil meletakkan gelas berisi air itu di hadapannya, semua orang melihat seekor anak sembilang sebesar ibu jari terkotek-kotek di dalam air. Tubuhnya terikat dengan benang yang bersambung pada sebiji limau berbungkus dengan kain putih. Kira-kira 15 minit kemudiannya barulah Masimah sedarkan diri semula. Hanya 5 bulan lepas kejadian itu, semasa saya dan Bumin singgah di rumah Haji Madan beliau menceritakan Jabal dan Masimah selamat disandingkan dengan tidak ada gangguan apa-apa. Tetapi Haji Madan sendiri terkejut bila diberitahu seorang dukun perempuan jauh dari situ, mati dalam keadaan mengerekot. Seluruh tubuhnya kecut seperti terkurung di dalam air batu.

TAMAT
Terdapat ralat dalam alat ini