SAHABAT

Isnin, 18 Jun 2012

DIA BERLARI DI ATAS AIR


SUDAH ramai orang menziarahi Aki Sahak semasa saya sampai bersama isteri saya dan Sali. Sepanjang jalan untuk ke rumah Aki Sahak saya berfikir bagaimana Aki Sahak boleh muntah darah. Bagaimanapun saya belum dapat memastikan macam mana keadaan Aki Sahak sebenarnya.

Hendak bertanya pada Sali pun saya fikir tidak penting. Lagi pun Sali dalam keadaan gelabah tidak tahu apa mahu dibuat. Bila Abang Amud suruh memanggil saya, dia panggil. Makda Saodah suruh dia panjat kelapa ambil buah kelapa muda, dia panjat. Itu saja yang dia tahu. Ketika saya masuk mendapatkan Aki Sahak, saya lihat Abang Amud ada duduk di kepalanya. Manakala Tonel sedang menyudukan air kelapa muda yang dijampi oleh Abang Amud.

"Macam mana jadi ni?" saya duduk sebelah Tonel. "Emm, dah geruh macam mana pula" sahut Aki Sahak tenang. Saya lihat beberapa helai kain sudah basah dengan darah yang keluar dari mulut Aki Sahak. Teringat saya kepada kata-kata Aki Sahak semasa terdengar bunyi air disedut dekat lombong semasa anak Abang Amud mati lemas. Aki Sahak pernah menyebut puaka lombong mahukan geruh dia. Bererti puaka lombong mahukan Aki Sahak sendiri menjadi galang ganti.

Heran juga saya bagaimana Aki Sahak boleh terlalai sehingga puaka lombong dapat mengganggu dia. Tetapi ini bukanlah mustahil kerana manusia ini ada kelebihannya dan ada kelemahannya. Musuh manusia akan sentiasa menunggu kelemahan itu. Begitulah yang terjadi kepada seorang ulama di Seremban iaitu mufti Negeri Sembilan. Saya mendapat tahu Allahyarham merupakan ulama yang doanya selalu menolong orang ramai. Tetapi beliau juga menghembuskan nafas akibat muntah darah juga.

Jadi, tidaklah heran perkara yang sama boleh berlaku ke atas Aki Sahak. Sedangkan ulama besar seperti mufti itu pun bila sampai masanya tidak dapat mengelak dari geruh, apakan pula Aki Sahak yang cuma belajar pondok. Semuanya telah ditentukan oleh Allah. Bagaimanapun Aki Sahak masih kelihatan segar, walaupun darah banyak keluar dari mulutnya. "Buatlah apa-apa patut ustaz..." bisik Abang Amud perlahan. Saya tidak menyahut. Saya memerhatikan pelupuk mata Aki Sahak. Pelupuk mata itu masih segar. Cuma bibirnya agak lebam sedikit.

Ada juga di antaranya yang mengatakan Aki Sahak terkena 'kelintasan' yakni dilangkah oleh hantu raya atau hantu tinggi. Ada juga yang menuduh puaka lombong membalas dendam. Tetapi pada pendapat saya jenis-jenis syaitan tidak akan berani mengganggu Aki Sahak memandangkan amalannya selama ini sudah cukup kuat mendinding dirinya. Boleh jadi syaitan digunakan oleh orang-orang berilmu untuk menyempurnakan tugasnya. Inilah yang boleh memporak-perandakan manusia.

Aruah Tok Aji iaitu tok aki saya juga pernah menghadapi perbuatan orang-orang berilmu menggunakan syaitan bagi memenuhi kehendak mereka. Tok Aji ini dilahirkan di Sumatera, kemudian dia berhijrah ke Tanah Melayu. Dia sudah berkahwin di Semenyih, di Singapura dan di Kota Tinggi. Kemudian menetap di kampung saya. Semasa dia menikah dengan nenek saya, Tok Aji sudah berumur hampir 60 tahun, manakala nenek saya baru berumur 18 tahun. Tetapi itu jodoh namanya. Tok Aji kekal dengan nenek saya sehingga akhir hayatnya.

Disebabkan Tok Aji berkahwin muda maka adalah orang yang iri hati dengannya. Dalam satu kenduri di rumah seorang kawannya, dia telah dihidangkan dengan kopi. Sebelum kopi itu diunjukkan kepadanya Tok Aji sudah tahu bahawa yang diberikan kepadanya ialah racun santau. Bagaimanapun Tok Aji tidak boleh mengelak dan dia mesti meminumnya juga. "Wah, sedap kopi ni" katanya bila menghirup kopi tersebut. Orang ramai yang menyaksikan tidak tahu apa telah berlaku.

Setelah diminumnya Tok Aji seperti biasa saja. Tidak ada apa-apa yang berlaku ke atas dirinya. Tetapi tidak semena-semena anjing di bawah rumah terjerit-jerit lalu mati dengan darah mengalir di mulutnya. Selepas itu beberapa kali Tok Aji telah diuji, dan dia terpaksa meminumnya sekalipun diketahuinya air tersebut telah dibubuh racun santau. Aruah Tok Aji memberitahu saya, racun santau ini dibuat oleh manusia dari serbuk kaca yang mempunyai ibu. Kadangkala orang yang menyimpan santau ini tidak perlu membubuhkan sendiri racun santau tersebut, memadai dengan menyeru saja maka ibu racun itu akan terbang seperti lipas dan memasukkan racun santau berkenaan ke dalam makanan mangsanya.

Sebab itulah ayah saya tidak mahu mengetahui sangat tentang racun santau, kerana katanya sesiapa yang sudah mengetahui maka dugaan sentiasa mengganggu seperti aruah Tok Aji. Bagaimanapun ayah saya pernah juga mahu diduga. Semasa saya bersamanya mengikut orang bertakbir Hari Raya pada malam Hari Raya, tiba-tiba gelas yang dihulurkan orang kepada ayah saya meletup dan pecah. Air kopi dari gelas itu menimpa kepala saya.

Semua orang menyangka pipi dan muka saya melecur terkena air panas. Tetapi apa yang saya rasakan adalah sebaliknya. Air kopi itu sejuk seperti dimasukkan ketul air batu. Rupanya ayah saya tidak mengambil ilmu santau dari Tok Aji yang mesti diminum kalau mengetahui santau ada di dalamnya. Ayah saya mempelajari doa supaya tidak sampai untuk diberikan kepadanya. Walaupun Tok Aji dapat mempertahankan dirinya dari racun santau, tetapi apabila akhir hayatnya bisa racun santau itu naik semula. dia tercungap-cungap seperti itik kena sembelih sehinggalah nafasnya yang terakhir.

Inilah yang saya fikirkan kalau apa yang dialami oleh aruah Tok Aji dilakukan oleh Aki Sahak. Mana tahu bisa racun santau yang mengancamnya sekarang sudah bertahun-tahun dulu dihirupnya. Mungkin dia terpaksa menghirupnya seperti aruah Tok Aji kerana amalannya terpaksa meminum juga. Hal demikian bukan berlaku ke atas orang-orang yang mendalami ilmu agama saja. Malah bomoh-bomoh terkenal juga mengalaminya. Seorang sahabat saya telah mempelajari ilmu mempertahankan diri dari racun santau ini dari ayahnya seorang bomoh. Sekarang sahabat saya berkhidmat dalam pasukan askar. Ketika dia menuntut dari ayahnya dia masih di kampung lagi dan menoreh getah.

Pernah juga dia mengajak saya menuntut dari ayahnya ilmu mempertahankan diri. Tetapi entah mengapa hati saya enggan saja mahu mempelajarinya. Mungkin kerana saya lebih tertarik dengan pelajaran agama dari aruah Tok Aji menyebabkan saya tidak tertarik hati dengan ilmu-ilmu bomoh ini. Lagi pun saya tidak berniat langsung untuk menjadi bomoh, seperti kawan saya itu. Malah dia sendiri apabila menyertai pasukan askar langsung melupakan terus cita-citanya mahu menjadi bomoh itu.

Selepas saja dia tamat melalui ujian ilmu mempertahankan diri dari racun santau, satu hari apabila dia balik dari menoreh getah dia terasa haus lalu meminta air dari emaknya. Oleh kerana emaknya lewat membawakan air, maka kawan saya terpandangkan botol aiskrim soda. Pada sangkaannya tentulah aiskrim soda. Dia pun tidak bertangguh lagi lalu menghirupnya hingga habis sebotol. Apabila emaknya keluar, alangkah terperanjatnya orang tua itu kerana yang diminum oleh kawan saya itu ialah cuka getah yang baru dibeli oleh emaknya. Kelam kabutlah emaknya menyaksikan kejadian tersebut. Tetapi tidak ada apa pun merosakkan dia. Kawan saya hanya tersenyum saja selepas meminum cuka getah tadi.

Tidak tahulah bagaimana dia sekarang, kerana sudah lama saya tidak berjumpa dengannya. Dia pun sudah berkahwin dengan orang Kluang di Johor. Jadi, jaranglah saya dapat bertemu dengannya. "Cubalah buat apa-apa ustaz..." desak Abang Amud lagi. Aki Sahak tersandar pada bantal. Dia kelihatan letih sedikit, tetapi matanya tetap segar. Dia tersenyum memerhati saya sudah ada di sisinya. "Takkan kau nak biarkan Aki macam ni" tangannya menampar lutut saya.

Saya tidak juga menyahut. Menghadapi orang berilmu seperti Aki Sahak bukanlah mudah. Kadangkala dia sengaja mahu menguji seseorang walhal dia memang tahu bagaimana mahu mengatasinya. Tidak ada langsung tanda-tanda dia dalam kesakitan apabila saya mula-mula menjengah dia tadi. "Buatlah apa-apa pun" pinta Aki Sahak masih memegang kepala lutut saya. "Bila kena ni?" saya mengeluh pendek. "Tiba-tiba aje..." Makda Saodah mencelah. "Lepas makan tengahari tadi dia rasa sakit dada. Langsunglah jadi macam tu" jelasnya dalam keadaan rusuh.

"Aki, tak buat apa-apa?" tanya saya perlahan. "Nak buat apa...!" jawabnya tersengih-sengih. Tok Kadi pun tak boleh nikahkan diri dia sendiri. Orang sakit macam Aki ni pun tentulah tak dapat nak ubat diri sendiri..." ujarnya ketawa macam menyindir. Serba salah juga saya dibuatnya. Keadaan Aki Sahak memang tenat, tetapi saya lihat dia tidak seperti orang sakit. Suaranya tetap tenang. Sekali sekala dia terbatuk hingga keluar darah pekat dari mulutnya.

Darah yang keluar dari mulut Aki Sahak itu seolah-olah orang mengalami luka parah. Kalau dibiarkan mungkin Aki Sahak akan kehilangan darah. Ada juga orang yang mendesak Aki Sahak supaya dibawa ke hospital, tetapi Aki Sahak enggan. Dia yang suruh Abang Amud segera memanggil saya. Sebenarnya saya jadi bingung menghadapi keadaan demikian. Kalau Aki Sahak yang saya anggap guru sudah tidak dapat bertahan, bagaimana pula saya boleh membantunya. Saya sendiri tidak tahu apakah ubatnya, kerana sebelum ini saya tidak pernah mengubati orang terkena racun atau santau. Lainlah kalau gangguan syaitan boleh juga saya mencuba-cuba.

"Penyakit macam ni jenis gangguan syaitan juga..." ujar Aki Sahak macam mengetahui apa yang terbendung di jiwa saya. "Macam mana saya nak mulakan?" saya serba salah. "Buatlah macam mana pun..." desak Aki Sahak tersenyum pahit. Darah masih mengalir juga apabila dia terbatuk. Saya hanya mencuba. Tidak tahu apakah ayat-ayat tertentu harus digunakan. Saya merenung muka Aki Sahak tepat-tepat sambil berzikir khusyuk di dalam hati hingga terasa zikir itu menyeluruh ke segenap badan. Ketika ini dapat saya rasakan diri saya ditolak kuat oleh satu tenaga, tetapi tenaga itu tidak berdaya menolak saya.

Akhirnya saya tenggelam di dalam zikir. Saya tidak takut kepada apa pun yang mencabar. Hanya berserah saja kepada Allah untuk meminta pertolongan dan perlindungan. Saya terus menyemadikan diri, "Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Hayyum Ya Qayyum, Ya Zaljalalil Wal Ikram, kepada Engkaulah aku memohon pertolongan". Demikian saya memulakan doa yang menyerahkan diri semata-mata kepada Allah.

Lama saya menguatkan zikir saya barulah saya merasakan diri saya cukup gagah. Kekuatan yang ada  pada saya sudah cukup untuk menghadapi sebarang musuh yang berdampingan dengan syaitan. Saya melihat seorang lelaki tua yang pernah saya temui sedang mengambil miang rebung dikumpulkan dalam satu balang. Puas saya mengingatkan di manakah saya pernah menemui orang tua tersebut. Orangnya kurus tetapi tinggi susuk tubuhnya. Dahinya sulah dan rambutnya jarang sedikit. Sudah dipenuhi uban hingga memutih.

"Tua kutuk...!" keluh saya meluat melihat perangainya. Tidak sedar sudah tua tetapi masih mahu melakukan perbuatan yang dilaknati Allah. Sepatutnya orang tua seperti itu mestilah melebihkan amal ibadat. Miang rebung yang diambilnya tadi digaul dengan serbuk kaca ditumbuk halus. Kemudian balang berisi serbuk kaca bergaul miang rebung itu diasap dengan kemenyan. Selepas itu ditapakan jauh dari kampung, di satu tempat yang dirahsiakan.

Orang tua itu memuja balang berisi serbuk kaca dengan miang rebung itu hingga timbul ulat seperti bubuk di dalamnya. Ulat-ulat ini menjalar dalam gumpalan miang rebung yang seakan-akan rambut itu. Sebenarnya saya tidaklah nampak dengan jelas. Hanya seperti bayang-bayang saja. Sebab itulah orang tua yang saya lihat hanya seperti bayang saja. Bagaimanapun memang saya cam mukanya kalau bertemu di mana-mana.

"Tua kutuk..." keluh saya perlahan. Orang tua itu berpaling. Dia seolah-olah mendengar keluhan saya tadi. Sebaik saja melihat saya berdiri bercekak pinggang menghadapnya, orang tua itu cepat-cepat melontarkan serbuk kaca itu ke mata saya. Tetapi serbuk kaca yang dilemparkan kepada saya itu tersekat pada tembok yang memagari saya tiba-tiba. "Kau berani datang ye!" pekik orang tua tersebut kelihatan marah. "Orang tua macam awak ni patutnya banyakkan amal ibadat" saya menyindir. Marah sangat saya kerana dicabar oleh orang tua berkenaan. "Kau datang nak cabar aku...?" dia mengancam dengan pandangan yang menggerunkan. "Bukan fasal cabar mencabar" jelas saya mengerling ke arahnya. "Kerja awak ni kerja syaitan. Jadi hamba syaitan. Dilaknat Allah..." ujar saya seterusnya.

Dia semakin marah bila saya sindir begitu. Dia melepaskan beribu-ribu ekor ular mahu mematuk saya. Tetapi ular-ular yang dilepaskan oleh orang tua itu semuanya terbakar hangus bila saya hembuskan ayat-ayat yang tertentu. Bertambah marah dia bila dilihatnya semua ular-ular yang menyerang tadi terbakar hangus. Kemudian dia membawa saya ke lombong tempat anak Abang Amud mati lemas. Dia berlari-lari di atas air tersebut bagaikan berpijak dia atas bumi. Orang tua itu ketawa berdekah-dekah bila melihat saya kehairanan memerhati dia berjejak di atas air.

"Awak berkawan dengan puaka, berkawan dengan syaitan..." bentak saya mula mengancam dia. Melihatkan saya marah orang tu itu semakin kuat tertawa. Dia bertandak di atas air lombong itu seolah-olah memperagakan kebolehan luar biasanya. "Awak nak tunjuk kepandaian awak ye!" saya cuba mengawal perasaan marah apabila diejek-ejek. Dia tidak menghiraukan kata-kata saya, sebaliknya terus bertandak-tandak. Tetapi dia tidaklah menyerang saya seperti mula-mula tadi. Mungkin pada peringkat kedua dia hanya mahu saya meradang saja. Memang inilah cara syaitan mahu mengalahkan manusia. dia sengaja mahukan kita marah supaya mudah baginya mencari kelemahan.

Mujurlah saya sedar akan tipu muslihat syaitan yang mahukan saya marah. Setelah dapat mengawal diri saya pun mula membacakan beberapa ayat Quran dan menghembuskan ke arahnya. Air lombong tiba-tiba menggelegak dan cair. Orang tua itu tercungap-cungap lari mencari tanah daratan. "Sahabat kau tak akan datang menolong!" saya mengejek dia. Kerana saya tahu dia lari ke lombong adalah untuk mendapatkan pertolongan syaitan yang menjadi sahabatnya.

"Sahabat kau akan dipanah petir kalau berani datang menolong kau" kata saya lagi menyebabkan dia mulai marah. Gelak ketawanya tidak kedengaran lagi, sebaliknya mendengus-demgus marah. Dia berpaling mahu menentang. Entah macam mana dia menjadi gementar apabila bertentang mata dengan saya, ketika ini saya sedang azan. Gema azan itulah menyebabkan syaitan yang diserunya tidak berani datang menolong. Nampaknya dia menggunakan puaka lombong itu untuk menentang saya.

"Serulah sahabat-sahabat kau" saya terus mengejek. "Selagi kau bersahabat dengan syaitan, selama itulah kau ditipu oleh syaitan. Tak mungkin syaitan datang menolong kalau dia tak dapat keuntungan" kata saya lagi. Orang tua itu semakin marah. Tetapi dia tidak berani menentang saya disebabkan syaitan yang diserunya tidak datang setelah saya azan tadi. Bumi tempatnya berpijak juga bergegar menyebabkan dia terhuyung hayang tidak dapat berjejak. "Bertaubatlah, dan kembali ke jalan Allah" saya menyerunya.

Dia tidak juga menyahut. Berlegar-legar dia mahu menyerang. Tetapi setiap kali dia mahu mencuba gegaran bumi semakin kuat menyebabkan dia terhuyung hayang tidak dapat berjejak. Orang tua ini memang manusia biasa, tetapi dia menggunakan ilmu syaitan untuk kepentingan diri sendiri. Tidak heranlah mengapa manusia demikian mudah tertipu kerana syaitan boleh memperdayakan mereka dengan janji-janji untuk memberi kekuatan, kekayaan, kemewahan atau apa saja yang dihajat.

Syaitan akan memberikan mereka kebal tidak lut oleh besi, syaitan menjanjikan kebolehan menyerang musuh dari jauh saja, syaitan menjanjikan ilmu yang boleh ghaib dari pandangan mata. Hal-hal seperti inilah menyebabkan manusia mudah terpedaya. Segala janji-janji syaitan itu adalah untuk sementara saja, iaitu selagi manusia mahu mengikut perintahnya. Bagaimanapun syaitan akan lari meninggalkan manusia tadi, apabila dia terseksa dengan ayat-ayat Quran. Dengan itu manusia yang ditinggalkan oleh syaitan akan terseksa pula sebagai galang gantinya. Inilah yang terjadi pada orang tua berkenaan.

Memang saya cam orang tua tersebut. Bagaimanapun saya terpaksa rahsiakan dia dari pengetahuan orang-orang kampung. Orang tua ini ada hubungan kekeluargaan dengan Abang Amud. Semasa saya membantu Aki Sahak mencari mayat anak Abang Amud yang tenggelam di dalam lombong, dia juga ada menyaksikannya bersama. Dialah yang mendesak Ketua Penyelam itu supaya meneruskan kerja mencari mayat tersebut dengan tidak payah pertolongan dari Aki Sahak. Apakah tujuannya tidaklah saya tahu.

"Apa yang awak sakit hati sangat pada Aki Sahak?" soal saya mengherdiknya. Dia mengacau hak orang..." sahutnya marah. "Apa yang dikacaunya?" "Kawasan ni kami punya!" "Kawasan apa?" "Kawasan anak ubat kami..." "Dia cuma menolong" "Tidak! Dia mengacau,,!" "Dia bawa ilmu Allah, awak kata mengacau?" sindir saya. Orang tua itu menjadi serba salah. Memang ada niat dia mahu menyerang saya. Tetapi setiap kali dia mahu menyerang terasa dadanya bagaikan kena pijak. Memang telah saya perhatikan sikapnya, sebab itu saya sudah menghentakkan tumit saya ke bumi dengan makrifat memijak jantungnya.

"Kalau awak berani lepaskanlah kawan.." bentaknya pula mahu menerkam saya. "Kalau sahabat awak boleh menolong lepaskanlah sendiri" sahut saya mengejeknya. "Awak halang dia, macam mana dia nak datang!" katanya. "Kalau awak handal lepaskan halangan tu" kata saya sengaja menyakitkan hatinya. Berkali-kali dia cuba menerkam tetapi terasa jantungnya terpijak. Dia mengerang kesakitan bila terasa jantung kena pijak. Akhirnya dia memekik kuat melepaskan kemarahannya. "Kau nak bunuh aku ke?" jeritnya menggema. "Awak nak bunuh Aki Sahak kan?" soal saya kuat sedikit. "Fasal dia nak bunuh sahabat aku!" jawabnya membentak.

"Kalau awak tak mahu malu, pergi sekarang" perintah saya masih tidak melepaskan tumit yang dihentak ke bumi. "Kalau tidak awak malu, keluarga awak pun malu" saya mengingatkan dia. "Biar mati aku takkan mengalah dengan kau!" dia berkeras tidak mahu mengalah. "Mengapa kau beri Aki Sahak santau?" jerkah saya apabila dia berkeras tidak mahu berundur. "Kau fikir kau boleh selamat. Ayat-ayat Allah lebih berkuasa dari santau, awak tau!" ujar saya seterusnya.

Untuk mengujinya sengaja saya lepaskan tumit dari menekan bumi. Serentak dengan itu dia menerkam saya. Bagaimanapun belum sempat dia sampai kepada saya, orang tua itu jatuh terhempap ke bumi Saya menghembusnya dengan Surah Al Fatihah hingga dia terlambung tidak dapat bertahan. Kemudian saya susul dengan Surah Al Ikhlas. Ketika ini berpuluh-puluh bukit berterbangan menimpa ke atas dirinya. Dia terhimpit di bawah bukit-bukit yang berterbangan. "Kau tidak akan dibantu oleh sahabat kau. Dia juga akan hancur kalau cuba mendekati" saya menyerunya berulang kali.

Setelah saya melihat dia tidak bergerak di bawah himpitan bukit-bukit yang berterbangan, barulah saya mengembalikan diri saya seperti sediakala. Saya masih menghadapi Aki Sahak yang terbaring. Dia kelihatan lemah sedikit. Darah juga sudah mula kering dari mulutnya. Di samping itu air kelapa muda yang sudah didoakan oleh Abang Amud tadi disudukan ke mulut Aki Sahak. Saya tahu Abang Amud mendoakan 'peluruh' iaitu mengatasi bisa racun, tetapi 'peluruh' yang diberikannya belum lagi berkesan.

Walaupun keadaan Aki Sahak sudah ada reda dia masih juga terbatuk-batuk. Bahang panas di dadanya terasa berwap-wap. Lalu saya pun meminta air sejuk dari Makda Saodah. Pada sangkaannya saya mahukan air minum, maka mereka pun memberikan kopi O. "Bukan saya nak minum" ujar saya tersenyum kerana geli hati. "Air nak buat ubat..." jelas saya. Barulah Makda Saodah menghulurkan kepada saya satu jag air sejuk. Saya membacakan Yassin tiga kali. Selepas itu air tersebut diberi minum pada Aki Sahak. Kira-kira sepuluh minit selepas dia minum air tersebut, Aki Sahak muntahkan darah dengan lendir-lendir putih.

Saya suruh muntah itu ditadah dalam besen supaya tidak habis tempat tidur. Tiga kali Aki Sahak terjeluih muntah. Kali yang ketiga muntahnya tidak lagi darah tetapi segumpal rambut sebesar penumbuk, serbuk kaca dan miang rebung. Setelah semuanya habis keluar barulah kelihatan Aki Sahak terkulai lemah akibat keletihan. Disebabkan keadaan baru pulih, saya pun menyuruh Aki Sahak tidur saja. Jiran-jiran pun saya tidak beri mengganggunya. Biarlah jangan ditanyakan apa-apa sehingga Aki Sahak pulih betul-betul. Biasanya dalam masa seminggu barulah ada perubahan sedikit.

"Kerja siapa agaknya?" Sali menggertap bibir. Barulah dia mahu bersuara setelah melihat Aki Sahak tidak lagi terbatuk-batuk. "Siapa agaknya ustaz?" Abang Amud pula bertanya. "Mana kita nak tau" sahut saya lemah. Sebenarnya saya juga terlalu letih. Pada lahirnya memang nampak saya duduk saja di situ, tetapi keletihan yang saya alami seolah-olah baru saja mengangkat beban berpikul-pikul. "Kalau tau orangnya" Sali menumbuk-numbuk tinju ke tapak tangan. "Kalau tau orangnya, aku pijak-pijak kepalanya. Aku terajang dia...!" gerutunya mcam menyimpan dendam.

 Saya mendiamkan diri saja. Biarlah Sali melepaskan geramnya. Saya tahu dia tidak akan bertindak kerana dia tidak tahu siapakah yang didendamnya. Tugas saya sudah selesai iaitu cuba mengubati Aki Sahak. Soal membalas dendam bukan kerja saya. Sebab Allah sendiri menjanjikan: Setiap perbuatan yang baik ada ganjarannya di akhirat, dan setiap perbuatan jahat ada balasannya di akhirat. "Hati binatang!" Sali masih merungut marah.

Kalaulah saya terangkan siapakah orang yang ternampak oleh saya mungkin Sali sanggup menyerangnya. Tetapi saya tidak boleh memberitahunya. Kadangkala bayangan yang kita lihat itu tidak semestinya benar. Boleh jadi orang yang berniat jahat itu menjelmakan dirinya seperti orang lain. Sudah tentulah kita menganiaya orang apabila kita memberitahu apa yang kita lihat. Sebab itu aruah tok aki saya melarang menyebutkan orang yang kita lihat melalui bayangan itu kepada keluarga pesakit. Ditakuti mereka akan bertindak membalas dendam.

Ustaz tak tau siapa orangnya?" tanya Sali semakin kejap menggertap bibir. "Tidak..." saya menggeleng kepala. "Kita baca Yassin ramai-ramai" Abang Amud pula mencadangkan. "Kita balikkan semula pada orang yang membuat Aki Sahak" katanya membayangkan kemarahan yang membakar perasaannya. Dia berkisar punggung bagaikan mahu melompat menerkam sesiapa saja. "Jangan ikut perasaan..." Aki Sahak membuka matanya perlahan. Rupanya sejak tadi dia mendengar saja perbualan kami. "Jangan ikut perasaan. Kau boleh bacakan Yassin dengan niat nak membunuh orang. Kalau Allah makbulkan, kau mesti ingat dosanya! Dosanya tetap dosa membunuh juga" suara Aki Sahak masih lemah tetapi nadanya keras.

"Orang hati binatang yang buat ni..." sahut Sali mengepal tinju kejap-kejap, kemudian meninju-ninju kepala lututnya. "Habis, kau nak ikut pula jadi hati binatang?" soal Aki Sahak bangun perlahan-lahan bersandar pada bantal. "Kalau kau nak balas juga, kau pun sama macam dia. Sama berhati binatang!" Aki Sahak mengingatkan. Sali tidak berani membantah cakap Aki Sahak lagi. Bukan saja Aki Sahak itu gurunya, tetapi juga pangkat bapa saudara pula. Makda Saodah itulah emak saudara Sali. Sebab itu dia tidak berani sangat berbantah-bantah dengan Aki Sahak.

"Allah lebih Maha Mengetahui..." jelas saya setelah Sali terdiam dimarahi Aki Sahak. "Kalau setiap hari sekurang-kurangnya kita melafazkan iyya kana'budu waiyya kanastai'n tujuh belas kali dalam solat kita ketika membaca Fatihah iaitu hanya kepada Engkau aku sembah dan hanya kepada Engkau aku memohon pertolongan, mengapa kita mesti membalas dendam! Mengapa kita tidak mematuhi ikrar kita dengan Allah" kata saya mengerling Sali.

Sali terdiam. Terasa juga dia sudah terlanjur bercakap mengikut perasaan. Ketika inilah terdengar seorang seorang perempuan memanggil Pak Semail Ketua Kampung dari tengah halaman. Pak Semail yang duduk di belakang saya terkejut juga bila ada orang mencarinya ketika itu. Sedangkan Aki Sahak masih belum pulih akibat termakan santau. "Ada Abang Mail di sini?" perempuan itu bertanya dari tengah halaman sebaik saja pintu serambi dibuka oleh Makda Saodah.

"Oh, kau tadi Sumi, naiklah" pelawa Makda Saodah masih berdiri di muka pintu. "Ada Abang Mail di sini?" ulangi perempuan yang dipanggil Sumi oleh Makda Saodah itu. "Ada..." beritahu Makda Saodah. "Macam mana pun naiklah dulu..." dia mengajak Sumi naik ke rumah. Belum sempat Sumi menyahut Pak Semail sudah berdiri di belakang Makda Saodah. "Apa halnya Sumi?" tanya Pak Semail bimbang. Berdebar juga hatinya bila adiknya itu datang memanggil dia ke situ.

Sumi tidak terus memberitahu. Dia kelihatan rusuh sedikit tetapi masih juga tercegat di tengah halaman. "Apa halnya?" tanya Pak Semail lagi. "Rumah kami dilanda ribut" jelas Sumi tergagap-gagap. "Abang Fakeh terperangkap dalam runtuhan rumah tu..." dia tersedu-sedu menahan perasaannya yang menyebak ke dada. "Ribut apa pula?" Pak Semail keheranan kerana kampung itu tidak pun dilanda ribut. Tidak ada tanda ribut atau hujan melanda. Kampung itu tetap cerah dengan cahaya matahari petang memancar bersih. "Macam mana boleh ada ribut, rumah kau bukan jauh dari sini..." ujarnya sambil berastaghfar beberapa kali.

"Entahlah..." Sumi menggeleng kepala. "Tapi ribut kencang tadi saya ada di rumah. Saya sempat terjun ke tanah sebelum rumah tu roboh" jelasnya perlahan. Dia juga heran kerana di kawasan rumah Aki Sahak itu tidak ada pun kesan-kesan dilanda ribut. Kalau ada ribut melanda tentulah habis sebuah kampung terlibat. Inilah yang mengherankan mereka. "Marilah kita pergi tengok Pak Fakeh..." saya mencadangkan. Saya bersama beberapa orang jiran lelaki yang ada menziarahi Aki Sahak terus mengikut Pak Semail.

Apabila sampai ke rumah Pak Fakeh memang semuanya terkejut melihat keadaan di situ. Rumah Pak Fakeh habis musnah ditimpa kayu jongkang kalang. Mereka bertambah heran bagaimana Sumi boleh terselamat kalau melihat keadaan rumah tersebut. Pokok kelapa tidak kurang dari lapan batang bertupang tindih menimpa rumah. Pokok durian juga melintang menghempap dari tengah bumbung. Kalau mahu dikira sempat melompat ke tanah memang tidak masuk akal langsung bagaimana Sumi boleh terselamat. Mujurlah juga cucu-cucu mereka tidak ada di rumah ketika itu. Kesan ribut juga jelas di sekitar kawasan rumah itu kerana banyak pokok-pokok yang patah dahan.

"Macam mana ribut di sini aje? keluh Sali yang sama mengikut kami tadi. "Kencang betul ributnya" beritahu Sumi masih dalam ketakutan. "Tengoklah pokok-pokok tu habis terbongkar akar" katanya lemah. "Habis macam mana Mak Sumi lepaskan diri?" tanya Tonel pula. "Entahlah..." ujarnya gementar mengenangkan peristiwa yang menimpa dirinya. "Mak Sumi rasa macam mati hidup balik..." dia mengesat mata dengan hujung lengan bajunya.

Terpaksa pula masing-masing mengambil kapak dan gergaji untuk memotong kayu yang jongkang kalang menimpa rumah Pak Fakeh. Hampir dua jam barulah  kawasan rumah itu dapat dibersihkan. Kira-kira sudah dekat masuk Maghrib barulah mayat Pak Fakeh ditarik keluar dari bawah pokok durian. Kepalanya berkecai remuk. Mata, hidung dan telinganya dipenuhi darah pekat. Memang Pak Fakeh yang saya lihat ketika saya mengubati Aki Sahak tadi. Tetapi saya tidak mahu memberitahu sesiapa pun tentang Pak Fakeh itu. Biarlah mereka semua menyangka Pak Fakeh menemui ajalnya apabila rumahnya dilanda ribut.

TAMAT